X

Kindly register in order to view this article
!

Kes bunuh Zulfarhan: Pembelaan tutup kes hari ini

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas memanggil 20 saksi pembelaan memberi keterangan, pihak pembelaan menutup prosiding bela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membabitkan 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Prosiding pendakwaan bermula 29 Januari 2018, dengan 31 saksi dipanggil termasuk rebuttal (saksi untuk menyanggah) antaranya bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr Harniza Kosnan dan pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad.

Sementara prosiding bela diri pada 2 Oktober 2019 dengan pihak pembelaan memanggil seramai 20 saksi iaitu kesemua 18 tertuduh, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni.

Dalam prosiding pagi tadi, peguam, M Varunchelvam yang mewakili tertuduh keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat memberitahu Hakim Datuk Azman Abdullah bahawa pihak pembelaan menutup kes, selepas saksi ‘rebuttal’, Pakar Patologi Forensik, Dr Mohamad Azaini Ibrahim, 58, selesai memberikan keterangan.

Mendengar kenyataan itu, Azman mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan memanjatkan rasa syukur kerana prosiding bela diri ini berakhir.

“Alhamdulilah, kes sudah selesai (saksi-saksi memberi keterangan),” katanya.

Beliau memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 10 Mei manakala hujahan lisan pada 24 Mei depan.

Pada prosiding hari ini, Dr Mohamad Azaini yang juga Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur bersetuju dengan laporan bedah siasat Dr Salmah, bahawa luka lecur pada badan Zulkarnain mengakibatkan kehilangan cecair badan dan mangsa boleh mengalami dehidrasi pada kadar yang serius (hypovolemic shock).

Katanya, semasa membaca penyataan saksi, beliau berkata, ia berdasarkan pemeriksaan Dr Salmah bahawa bibir mangsa didapati kering dan cecair mata ‘vitreous humor’ yang terlalu pekat sehingga tidak dapat dianalisa, berikutan itu, kandungan elektrolit di dalam badan mangsa menjadi tidak seimbang.

“Pada pendapat saya, mangsa telah mengalami komplikasi akibat daripada luka lecur iaitu ketidakseimbangan elektrolit, ‘hypovolemic shock’ dan seterusnya kerosakan pada organ-organ penting seperti buah pinggang dan kemungkinan juga kepada jantung dan paru-paru,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi dan Mohd Josiendra Abu Senin manakala tertuduh-tertuduh diwakili barisan peguam, Amer Hamzah Arshad, Fadly Hashim, Varunchelvam dan Fatimah Azzahrah Rumaizi.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, bapa Zulfarhanan, Zulkarnain Idros, 57, berkata, beliau dan keluarga cekal untuk menerima keputusan kes itu kelak.

“Saya terima apa sahaja keputusan hakim, prosiding di sini akan membuktikan mereka (tertuduh) buat atau tidak,” katanya.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi 21 Mei 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulfarhan kata 'jangan' semasa ditekap seterika


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!