Kios boleh lipat pertama di Perak bantu peniaga kecil ketika Covid-19

Saarani merasmikan penyerahan Kiosk Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) kepada 12 penerima di Dewan Behrang Stesen sempena MESRA di Parlimen Tanjung Malim hari ini. -Foto Bernama
Saarani merasmikan penyerahan Kiosk Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) kepada 12 penerima di Dewan Behrang Stesen sempena MESRA di Parlimen Tanjung Malim hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerajaan negeri Perak melancarkan kios boleh lipat untuk kegunaan peniaga kecil wanita dan orang kurang upaya (OKU) menjalankan perniagaan mereka ketika penularan Covid-19.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, Kios Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) itu direka khas agar mudah dibawa dan dimasukkan ke dalam kereta.

“Ini merupakan bantuan pertama di Perak yang memberi kemudahan kepada 215 peniaga kecil, wanita dan OKU.

"Kita peruntukkan kira-kira RM350,000 untuk kesemua 215 kios," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Kios Biznita di Dewan Behrang Stesen yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad bersempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat di Parlimen Tanjung Malim pada Khamis.

Wan Norashikin berkata, bantuan tersebut merupakan inisiatif bersama kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan Women Family Welfare (WFW) serta Sekretariat Wanita Perak.

Sementara itu, seorang penerima Orang Asli dari Trolak Selatan, Suriani Ap Bahani, 28, meluahkan rasa terharu dengan bantuan tersebut yang akan memudahkannya berniaga burger.

"Sebelum ini saya berniaga di rumah tetapi masa itu terhad sebab saya kena kongsi dapur untuk memasak,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: