Zahid, Anwar digesa lafaz sumpah laknat

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa melafazkan sumpah laknat di masjid bagi menafikan rakaman audio mirip suara mereka yang tersebar di media sosial.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa melafazkan sumpah laknat di masjid bagi menafikan rakaman audio mirip suara mereka yang tersebar di media sosial.
A
A
A

PUTRAJAYA - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa melafazkan sumpah laknat di masjid bagi menafikan rakaman audio mirip suara mereka yang tersebar di media sosial.

Gesaan itu disuarakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dengan meminta kedua-dua pemimpin itu mencontohi Datuk Seri Najib Tun Razak yang berbuat sedemikian berhubung dakwaan mengeluarkan arahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Sebab kalau nak buat laporan polis, nak tunggu polis siasat, kemudian siasatan polis tidak serupa yang mereka hendak, dia kata pula polis berkonspirasi... tak pasal-pasal pula.

"Jadi, ia tak akan selesai sampai bila-bila kerana yang menjadi saksi itu mereka berdua yang bercakap serta ALLAH SWT. Itu saja. Orang lain, siapa dia?," katanya pada sidang akhbar pelancaran Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di kementeriannya di sini pada Khamis.

Ujar Annuar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh mengaturkan lafaz sumpah laknat berkenaan sekiranya Ahmad Zahid dan Anwar bersetuju.

"Pergi ke Masjid Kampung Baru, DBKL boleh aturkan," katanya.

Tambah beliau, selain melakukan sumpah laknat, Ahmad Zahid juga perlu melepaskan jawatan Presiden UMNO.

Menurutnya, selaku presiden parti, Ahmad Zahid diharap berani untuk mengambil tanggungjawab atas apa yang dilakukan dengan bertindak jujur dan mengambil tauladan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berpandangan Ahmad Zahid harus mengambil langkah sama mencontohi pemimpin UMNO terdahulu tanpa perlu ada sesiapa memaksa.

"Renunglah dengan mata hati, fikirlah apa yang terbaik untuk parti supaya parti tidak terbeban akhirnya," katanya.

Mengenai rakaman audio perbualan telefon itu, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO mendakwa ia adalah tulen.

Menurutnya, sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua tokoh politik itu, pengecaman suara di dalam audio tersebut bukanlah perkara rumit.

"Saya cuba mendengarnya 10 kali malam tadi, saya rasa saya boleh cam suara itu dan yakin 100 peratus ia tulen," katanya.

Menurutnya, kandungan percakapan antara kedua-dua individu berkenaan juga amat mengecewakannya.

"Saya bukan mempersoal kebebasan bercakap tetapi "content" percakapan itu jelas menunjukkan ada perancangan, kebersamaan dan perbincangan yang bercanggah dengan dasar 'No Anwar, No DAP' yang diputuskan parti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

Zahid nafi perbualannya bersama Anwar

Anwar nafi audio perbualan bersama Zahid

Beliau mendakwa, sememangnya wujud hubungan kerjasama politik antara UMNO dan PKR.

"Saya sangat berkeyakinan memang ada perhubungan dan perhitungan...Gunalah apa sahaja, boleh guna konspirasi," jelas beliau.

Katanya lagi, hubungan itu boleh dilihat termasuklah surat sokongan kepada Anwar yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid, namun dinafikan.

"Kemudian kenyataan media mengenai tuntutan mengadakan sidang Parlimen. "Copy paste" (surat) juga membuktikan ada muafakat di belakang tabir.

"Sekarang keluar pula rakaman audio," katanya.

Pada Rabu, tular rakaman audio panggilan telefon berdurasi empat minit 17 saat mirip suara Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Anwar dalam kenyataan berasingan menafikan wujud perbualan telefon di antara mereka seperti yang tersebar di media sosial.