Potong bekalan elektrik premis judi secara haram

Kakitangan TNB memotong bekalan elektrik di kedai berkenaan.
Kakitangan TNB memotong bekalan elektrik di kedai berkenaan.
A
A
A

KEMAMAN – Kedegilan sebuah kedai haiwan peliharaan yang turut menjalankan kegiatan judi nombor ekor secara haram mengundang padah apabila premis itu diserbu sepasukan polis kira-kira jam 12 tengahari pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya mengambil tindakan memotong bekalan elektrik premis berkenaan selepas beberapa notis dan saman yang dikeluarkan sebelum ini tidak dihiraukan.

“Siasatan mendapati premis ini sudah tujuh bulan terlibat dengan judi ekor haram dan judi online. Premis ini juga sudah tiga kali diambil tindakan namun masih berdegil meneruskan kegiatan ini.

“Malah saya terkilan apabila ada kanak-kanak berusia 10 tahun diminta bapanya membeli nombor ekor di sini, jadi kita ambil tindakan tegas ini,” katanya selepas melakukan operasi pemotongan bekalan elektrik serta merta di premis itu pada Khamis.

Operasi pemotongan elektrik berkenaan mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Menurut Hanyan, sebelum ini polis pernah mengambil tindakan sama terhadap tiga premis lain atas kesalahan serupa bagi menghentikan kegiatan haram tersebut.

“Pemotongan ini biasanya selama satu hingga tiga bulan. Kita akan terus buat pemantauan dan saya harap orang ramai dapat membantu polis menyalurkan maklumat jika terdapat kegiatan yang tidak bermoral di kawasan masing masing.

“Ini bagi membolehkan polis mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang undang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih dari RM200,000 serta penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.