Tujuh premis judi dipotong bekalan elektrik

Wan Azlan (kanan) pada Khamis, ketika mengetuai Ops Dadu Khas memotong bekalan elektrik ke atas premis judi yang telah digempur di sekitar Subang Jaya.
Wan Azlan (kanan) pada Khamis, ketika mengetuai Ops Dadu Khas memotong bekalan elektrik ke atas premis judi yang telah digempur di sekitar Subang Jaya.
A
A
A

SUBANG JAYA - Tujuh premis judi dalam talian di sekitar daerah ini yang telah digempur dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, Ops Dadu Khas pada jam 10 pagi itu dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, tindakan pemotongan elektrik dilakukan di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi tujuan mengelakkan premis terbabit aktif menjalankan aktiviti perjudian semula.

"Semasa pemotongan bekalan elektrik didapati premis tidak berpenghuni dan operasi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas mengenai modus operandi premis judi terbabit, beliau berkata, hanya pelanggan tetap dibenarkan masuk selain premis yang diawasi kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu besi.

Katanya, premis tersebut beroperasi pada waktu malam bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa.

"Nilai pertaruhan yang ditawarkan bergantung kepada pemain (pelanggan)," ujarnya.

Tegasnya, masyarakat diminta memberi kerjasama kepada pihak polis dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perjudian dalam usaha membanteras kegiatan terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!