11 mercu tanda ASEAN di Pulau Bidong

Nancy (kiri) beramah mesra dengan penggiat industri pelancongan semasa Sesi Jerayawara Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 Zon Pantai Timur di sebuah hotel pada Khamis. - Foto Bernama
Nancy (kiri) beramah mesra dengan penggiat industri pelancongan semasa Sesi Jerayawara Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 Zon Pantai Timur di sebuah hotel pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Sebanyak 11 monumen mercu tanda terkenal dari negara-negara ASEAN akan ditempatkan di dasar laut Pulau Bidong, Terengganu melalui satu projek khas iaitu 'The 1st ASEAN Underwater Mini Landmark' yang akan dilancarkan pada Jun depan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancaran mercu tanda itu diadakan sempena penganjuran Seminar ASEAN mengenai Pemeliharaan dan Perlindungan Warisan Budaya Bawah Air pada 15 hingga 19 Jun nanti.

Beliau berkata, projek di bawah Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu akan memaparkan sebanyak 11 monumen mercu tanda dari setiap negara ASEAN yang ditempatkan di dasar laut pada kedalaman 10 hingga 15 meter.

"Antara monumen itu ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Kemboja), Patuxai Monument (Laos), Indonesia National Monument (Indonesia) dan Shwedagon Pagoda (Myanmar).

"Turut dipaparkan nanti ialah Joe Rizal Monument (Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand), Tran Quoc Pagoda (Vietnam) dan ASEAN Secretariat (ASEAN)," katanya ketika hadir ke Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 Zon Pantai Timur di Hotel Raia di sini pada Khamis.

Siri Jerayawara DPN 2020-2030 melibatkan penggiat industri di Terengganu, Kelantan dan Pahang merupakan sesi ketiga diadakan selepas Sarawak pada Februari dan Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor pada Mac.

Sementara itu, Nancy berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM265,000 di bawah pembiayaan Tabung Kebudayaan ASEAN itu akan menjadi platform bagi perkongsian ilmu dan pertukaran budaya di antara negara-negara ASEAN.

"Ia juga bakal menjadi produk pelancongan budaya baharu yang akan merancakkan ekonomi dalam sektor pelancongan dan kebudayaan di samping meningkatkan lagi visibiliti dan imej Malaysia di mata dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Nancy turut mengumumkan peruntukan lebih RM10 juta kepada Terengganu bagi membangunkan industri pelancongan negeri ini bagi tempoh dua tahun iaitu 2020 dan 2021.

Menurut beliau, peruntukan itu merangkumi satu projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan satu projek baharu menerusi RMK12, selain empat projek penyelenggaraan kemudahan pelancongan termasuk pemuliharaan bangunan warisan tahun 2020.

"Beberapa projek lagi berjalan tahun ini termasuk penyelenggaraan program homestay Malaysia dan tambah baik infrastruktur serta promosi kampung budaya," katanya.