Kelantan benarkan solat tarawih

MAIK membenarkan solat tarawih dan aktiviti mengimarahkan masjid di seluruh negeri sepanjang Ramadan ini. - Gambar hiasan (Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz)
MAIK membenarkan solat tarawih dan aktiviti mengimarahkan masjid di seluruh negeri sepanjang Ramadan ini. - Gambar hiasan (Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz)
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat tarawih dan aktiviti mengimarahkan masjid di seluruh negeri sepanjang Ramadan ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V memberi perkenan untuk rakyat berbuat demikian.

"Langkah itu selaras dengan peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

"Kebenaran ini merangkumi masjid negeri, bandar, jajahan serta mukim," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, solat tarawih bagaimanapun dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musalla dengan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal satu meter.

Menurutnya, solat itu boleh dilakukan sama ada lapan atau 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak melebihi satu jam.

Bagaimanapun, katanya, tempoh tersebut tidak termasuk dengan solat Isyak.

"Sepanjang pelaksanaan solat tarawih, program tazkirah tidak dibenarkan. Bagaimanapun tazkirah Subuh, Asar dan lain-lain dibolehkan dengan penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"MAIK turut membenarkan aktiviti tadarus al-Quran tetapi perlu mengikut kapasiti masjid dalam tempoh tidak melebihi satu jam serta penjarakan fizikal," katanya.

Tambah beliau, program qiamullail juga dibenarkan sepanjang Ramadan iaitu satu jam sebelum waktu Imsak dan iktikaf di masjid dibenarkan dengan mengamalkan SOP.

"Jamuan berbuka puasa, bersahur serta moreh tidak dibenarkan diadakan sepanjang Ramadan ini kecuali secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah," katanya.

Bermula Ramadan ini juga, katanya, kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ke atas dibenarkan mengikut program yang diadakan di masjid, surau dan musalla.

"Kami berharap pihak pengurusan masjid melaksanakan SOP ditetapkan dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya gagal mematuhinya," katanya.