Air Selangor dalam proses stabilkan agihan air di 58 kawasan

Kerja penggantian injap dilakukan di jajaran Empangan Klang Gates menyebabkan gangguan bekalan air di 58 kawasan Kuala Lumpur dan Gombak. - Foto FB Air Selangor
Kerja penggantian injap dilakukan di jajaran Empangan Klang Gates menyebabkan gangguan bekalan air di 58 kawasan Kuala Lumpur dan Gombak. - Foto FB Air Selangor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara di Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju telah disiapkan pada malam Selasa.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, penyelenggaraan tersebut berjaya dilakukan pada jam 9 malam dan mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, Air Selangor kini dalam proses untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di 58 kawasan terlibat.

"Setakat jam 6 pagi (Rabu), masih tiada kawasan di Kuala Lumpur dan Gombak yang pulih sepenuhnya.

"Status pemulihan bekalan air akan dimaklumkan dari masa ke masa menerusi semua saluran komunikasi rasmi," katanya menerusi kemas kini di Facebooknya pada Rabu.

Kerja-kerja penggantian injap mula dijalankan pada Selasa dan gangguan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 5 pagi, Jumaat.

Dalam kemas kini berasingan, Air Selangor memaklumkan yang tempoh masa gangguan dan pemulihan air di kawasan terjejas adalah secara berperingkat.

"Ia berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna boleh melayari http://hentitugas.airselangor.com/ untuk mendapat maklumat terkini senarai kawasan terlibat, senarai Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan maklumat stesen-stesen Pengisian Air Komersil," katanya.