Ditangkap ketika sedang leka isi petrol untuk seludup

Tangki minyak petrol yang diubah suai di bahagian but kereta.
Tangki minyak petrol yang diubah suai di bahagian but kereta.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika sedang leka mengisi petrol ke dalam tangki keretanya yang diubah suai.

Lelaki berusia 30 tahun itu berbuat demikian dipercayai untuk menyeludup petrol berkenaan ke negara jiran.

Dalam kejadian pada 12 tengah hari Isnin itu, tangkapan dilakukan ketika Ops Benteng Covid-19 Bersepadu KPDNHEP bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, seramai 11 anggota menjalankan risikan dan pemantauan di sepanjang sempadan negara.

Beliau berkata, ketika operasi itu, anggota melihat seorang lelaki mencurigakan membuat pengisian minyak ke sebuah kereta di stesen minyak di Wakaf Bharu.

“Anggota berjaya menahan lelaki itu dan hasil pemeriksaan menemui barang kawalan iaitu minyak petrol dianggarkan sebanyak 100 liter di dalam tangki tambahan yang diubah suai pada kenderaan.

“Turut ditemui ialah tiga tong plastik putih berisi anggaran 30 liter minyak petrol berada dalam kereta tersebut yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, modus operandi penyeludupan dilakukan dengan membuat pengisian ke dalam tangki kenderaan yang diubah suai bagi mengaburi pihak berkuasa supaya tidak dapat mengesan perbuatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Nilai rampasan ialah sebanyak RM3266.50 iaitu melibatkan kenderaan yang dianggarkan berjumlah RM3,000 manakala minyak petrol bernilai RM266.50.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melakukan kesalahan memiliki barang kawalan tanpa lesen, permit atau kebenaran pengawal,” katanya.