X

Kindly register in order to view this article
!

[DIKEMAS KINI] Kerajaan muktamadkan terus guna vaksin AstraZeneca

Adham (kanan) dan Ka Siong (kiri) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Nota Kerjasama antara KKM dan MOT di Ibu Pejabat KKM pada Selasa.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memuktamadkan untuk terus kekal menggunakan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca yang diperoleh daripada fasiliti Covax dan Thailand.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu diputuskan selepas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) bermesyuarat selama tiga jam pada Selasa.

"Kita ambil maklum mengenai kesan-kesan dan faktor menyebabkan berlakunya insiden darah beku," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis tandatangan Nota Kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, meskipun belum menerima bekalan vaksin itu, data klinikal menunjukkan ia mempunyai banyak manfaat yang menjurus kepada kebaikan.

"Sebanyak 10 peratus perolehan vaksin AstraZeneca adalah dari Thailand dan fasiliti Covax dari Korea Selatan," katanya.

Awal bulan ini, United Kingdom (UK) mengenal pasti 30 kes darah beku selepas pengambilan vaksin Covid-19 AstraZeneca.

Kes itu menyebabkan beberapa negara menyekat penggunaan vaksin AstraZeneca, manakala ada negara menerusi program inokulasi vaksin terbabit biarpun terdapat laporan kejadian darah beku masih berlaku.

Agensi Kawal Selia Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan UK bagaimanapun tidak menerima sebarang laporan kejadian darah beku berpunca daripada pengambilan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

Vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca dijangka akan digunakan bagi memenuhi keperluan imunisasi 20 peratus rakyat Malaysia.

Kelulusan bersyarat telah diberikan kepada vaksin AstraZeneca jenis cecair suntikan yang dibekalkan melalui fasiliti Covax oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!