Taman Rimba Kiara: Hentikan cubaan tipu rakyat, kata Yayasan WP

Zaizalnizam Zainun
Zaizalnizam Zainun
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang didakwa cuba menipu rakyat dalam isu tapak Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini dibidas Yayasan Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, tapak tersebut sememangnya sudah dikhususkan untuk projek perumahan di bawah satu pelan pembangunan terancang dengan lot taman rimba lain tidak akan terjejas sama sekali.

Selain itu, beliau turut menegaskan terdapat banyak penambahbaikan dilakukan pihaknya terutama dalam soal kepadatan penduduk.

"Selama 40 tahun, lot ini telah menjadi lokasi perumahan untuk komuniti masyarakat India dengan lot lain taman rimba berkenaan tidak pernah diusik walaupun seinci.

"Saya berharap Hannah (wakil rakyat DAP) tidak terus menipu rakyat dengan pengongsian fakta tidak tepat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi membalas catatan Hannah menerusi akaun Facebook miliknya yang mempersoalkan berita mengenai rancangan kerajaan untuk menanam sejuta pokok di kawasan Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

Hannah dalam catatan laman sosial itu berkata - 'But he wants to develop Taman Rimba Kiara by appealing the court decision in favour of residents?' yang turut memaparkan keratan berita mengenai hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk menanam sejuta pokok dalam kawasan wilayah itu.

Jelas Zainalnizam, Hannah sepatutnya menjelaskan mengapa bekas Menteri Wilayah Persekutuan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tetap meneruskan projek berkenaan sekiranya benar projek perumahan di Taman Rimba Kiara bakal menjejaskan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberi jaminan projek ini tidak akan menjejaskan alam sekitar, bahkan tidak akan menyebabkan kesesakan kepada penduduk Taman Tun Dr Ismail.

"Paling penting, pihak yayasan mampu menawarkan rumah mampu milik di kawasan tersebut kepada penduduk memerlukan.

"Saya cuma berharap ahli-ahli politik pembangkang tidak menjadikannya sandiwara politik kerana ada satu lagi pembangunan projek perumahan di kawasan bersebelahan Taman Rimba Kiara dan tiada siapa pula bising mengenainya," katanya.

Isu Taman Rimba Kiara mendapat perhatian apabila ia dibawa ke mahkamah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan pertikaian antara pihak pemaju dengan persatuan penduduk kawasan tersebut.

Bagaimanapun, pada tahun 2019, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dilaporkan berkata, sebenarnya tidak ada isu lagi berkaitan Taman Rimba Kiara seperti yang dibangkitkan Persatuan Penduduk dan Badan Pengurusan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan beberapa pihak.