Enam individu tidak pakai pelitup muka dikompaun

Dr Nor Azimi (dua dari kanan) melihat penguatkuasa mengeluarkan kompaun kepada seorang pelanggan kerana merokok dalam kedai makan.
Dr Nor Azimi (dua dari kanan) melihat penguatkuasa mengeluarkan kompaun kepada seorang pelanggan kerana merokok dalam kedai makan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan enam kompaun dengan nilai keseluruhan RM26,000 kepada enam individu di Besut dan Kuala Terengganu kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kompaun itu dikeluarkan melalui operasi pematuhan prosedur operasi standart (SOP) yang dilaksanakan di seluruh negeri bermula 13 Mac hingga 5 April.

Menurutnya, dalam tempoh itu sebanyak 5,478 premis diperiksa oleh Pasukan Task Force Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di lapan daerah.

"Kita bukan suka-suka untuk kompaun rakyat tapi ini jalan terakhir bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP supaya Covid-19 terkawal dan Terengganu kembali jadi negeri hijau.

"Sudah dua minggu bilangan kes di Terengganu kekal satu digit namun negeri ini masih berisiko berlaku kenaikan kes baru berikutan rentas negeri dibenarkan atas sebab tertentu jadi penguatkuasaan harus dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menyertai Ops Kedai Makan tumpuan di bawah Ordinan Darurat Seksyen 21A, PPPB (Pindaan) 2021 di beberapa kedai makan sekitar Kuala Terengganu pada Selasa.

Dalam operasi itu, dua individu turut dikompaun kerana merokok dalam kedai makan.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 merupakan satu arahan dikeluarkan kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 berkuatkuasa 11 Mac lalu melibatkan pindaan lima peruntukan sedia ada dan penambahan lima peruntukan baharu.

Pada masa sama Dr Nor Azimi turut meminta orang ramai khususnya dari zon merah yang berhasrat datang atau pulang ke Terengganu dengan kebenaran atas urusan tertentu hadir ke klinik atau hospital berhampiran bagi melakukan penilaian risiko Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penilaian awal mampu mengelak berlakunya penularan wabak dalam komuniti.

"Kita tidak kata yang rentas negeri wajib buat ujian saringan tapi sebolehnya jika mereka dari zon merah atau kawasan ada kluster, jumpa kami untuk penilaian, sekurang-kurangnya dapat kurangkan pendedahan kepada orang ramai dan elak berlaku penularan lebih besar," katanya.