‘Berlumba’ jaga ibu hidap kanser tahap 4

Siti Rokiah menyuapkan nasi kepada ibunya, Siti Khatijah sambil diriba oleh Tuan Fazlee di rumah mereka di Kampung Jal Kecik, Chabang 4, Tumpat pada Isnin.
Siti Rokiah menyuapkan nasi kepada ibunya, Siti Khatijah sambil diriba oleh Tuan Fazlee di rumah mereka di Kampung Jal Kecik, Chabang 4, Tumpat pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - Kesempitan hidup tidak menghalang dua beradik dari Kampung Jal Kecik, Chabang 4, di sini berusaha menjalankan tanggungjawab menjaga ibu mereka yang terlantar akibat sakit strok dan kanser darah tahap empat.

Dua beradik berlainan bapa itu, Tuan Fazlee Tuan Losing, 32, dan adiknya, Siti Rokiah Mat Yusof, 29, menjaga ibu mereka, Siti Khatijah Pak Man, 71, sejak wanita itu diserang angin ahmar lapan tahun lalu.

Siti Rokiah berkata, mereka sekeluarga tinggal di Pondok Lambor, Wakaf Bharu, Tumpat, selama 10 tahun selepas rumah peninggalan arwah bapa, Mat Yusof Ali, runtuh kerana usang.

“Rumah sekarang dibina oleh bapa saudara di atas tanah milik ibu.

“Saya tidak bekerja kerana perlu menjaga ibu lumpuh dan dua lagi anak kecil berusia lapan serta tiga tahun. Suami hanya bekerja buruh dengan pendapatan tidak tetap sehingga RM1,000 sebulan,” katanya ketika menerima lawatan dan bantuan katil oleh Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang disampaikan Presiden KKCK, Pui Tiong Lam pada Isnin.

Siti Rokiah berkata, bapanya meninggal dunia akibat strok pada tahun 2003.

Tiong Lam menyampaikan sumbangan barangan makanan dan lampin pakai buang kepada Siti Rokiah di Kampung Jal Kecik, Chabang 4, Tumpat pada Isnin.
Tiong Lam menyampaikan sumbangan barangan makanan dan lampin pakai buang kepada Siti Rokiah di Kampung Jal Kecik, Chabang 4, Tumpat pada Isnin.

Menurut Siti Rokiah, Tuan Fazlee pula berhenti kerja di sebuah pasar raya sejak lima tahun lalu untuk membantu menjaga ibunya kerana kudrat wanita Siti Rokiah tidak mampu melakukan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Dua kali ibu kena strok dan terjatuh. Saya pula tidak mampu mengangkatnya. Sehingga kini abang belum berkahwin dan tidak bekerja untuk membantu jaga ibu bersama-sama.

“Kami memandikan dan mencuci najis setiap hari manakala makan disuap tiga kali sehari kerana ibu tidak dapat menguruskannya,” katanya.

Sementara itu, Tuan Fazlee berkata, ibunya menerima bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan untuk menampung perbelanjaan susu dan lampin pakai buang.

“Kami tidak mampu bagi ibu susu khas seperti yang disaran oleh doktor malah ibu hanya duduk atas pelapik kayu sebelum diberi bantuan katil daripada KKCK semalam.

“Bilik ibu yang dilengkapi tandas ini pula baru tiga minggu siap dibina oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0311829000235822 atas nama Siti Khatijah Pak Man atau hubungi di talian 014-8097844.