Penggiat industri tidak wajar gesa tetapkan sasaran TBB lebih tinggi

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggiat industri elektrik tidak wajar menggesa kerajaan untuk meletakkan sasaran lebih tinggi bagi Tenaga Boleh Baharu (TBB) Malaysia tanpa memikirkan kos pembekalan elektrik yang perlu ditanggung oleh pengguna.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dalam merancang pembekalan elektrik negara, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan untuk mengimbangkan tiga elemen yang menjadi dilema tenaga iaitu jaminan bekalan tenaga, mampu bayar dan kelestarian.

Beliau berkata, kerajaan menetapkan sasaran TBB sebanyak 31 peratus daripada kapasiti penjanaan pada 2025, justeru, sektor elektrik dijangka dapat mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus bagi tempoh berkenaan.

“Selain itu, usaha melestarikan pembekalan elektrik negara juga perlu dilaksanakan melalui dasar pengagihan dan kelulusan kuota yang konsisten dan telus untuk memberi keyakinan pelabur agar terus melabur dalam industri pembangunan TBB negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Anugerah Tenaga Negara (NEA) 2020 di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan dasar kelulusan kuota TBB melalui kaedah bidaan terbuka bagi mewujudkan ekosistem pembangunan industri TBB yang kondusif, sekali gus menggalakkan persaingan adil serta memastikan kadar tarif kekal rendah.

Shamsul Anuar juga berkata, purata kadar gangguan elektrik dicatatkan di Semenanjung Malaysia adalah kurang daripada 50 minit setahun dan yang terendah jika dibandingkan dengan negara lain di Asia Tenggara.

Beliau berkata, kadar gangguan elektrik di Semenanjung Malaysia adalah setara dengan negara maju seperti Denmark, Perancis dan United Kingdom dengan rakyat negara ini membayar kadar tarif lebih rendah berbanding negara-negara tersebut.

Majlis Apresiasi NEA 2020 meraikan 30 syarikat yang meraih pengiktirafan NEA 2020 yang kemudian mewakili Malaysia di Anugerah Tenaga ASEAN 2020 dan 15 syarikat memenanginya dalam pelbagai kategori.

Artikel Berkaitan:

Antara 15 syarikat itu ialah Honda Showroom & Care Centre, Hospital Jelebu (Negeri Sembilan), Kilang Top Glove 29, Amcorp Power Sdn Bhd, Concord Green Energy Sdn Bhd dan Sime Darby Plantation Bhd. - Bernama