Sindiket judi online dalam kondominium mewah tumpas

Keempat-empat suspek ditahan untuk siasatan.
Keempat-empat suspek ditahan untuk siasatan.
A
A
A

GEORGETOWN - Satu sindiket perjudian dalam talian yang beroperasi di kondominium mewah tumpas selepas kediaman yang terletak di Jalan Casa Residensi, Bukit Mertajam diserbu sepasukan polis pada jam 1 tengah hari, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra'ais berkata, kediaman yang disewa itu dijadikan pusat operasi judi dalam talian (calling centre) sejak sebulan lalu.

Menurutnya, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Cawangan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

"Dalam serbuan itu, kita menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 36 hingga 37 tahun. Dari keterangan mereka, kediaman itu disewa oleh salah seorang suspek dengan bayaran RM1,400 sebulan.

"Siasatan awal mendapati, kondominium yang disewa itu dijadikan 'calling center' atau pusat panggilan untuk pertaruhan. Mereka menyasarkan warga tempatan dan Indonesia sebagai pelanggan dengan menggunakan beberapa laman web," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, pusat panggilan untuk pertaruhan itu dipercayai beroperasi 24 jam sehari.

"Kita merampas pelbagai peralatan antaranya, tiga unit monitor komputer, dua unit pemprosesan komputer, sebuah modem, sebuah router, beberapa dokumen serta peralatan lain yang dipercayai digunakan sindiket dalam operasi judi dalam talian.

"Sindiket tersebut dipercayai mengaut keuntungan sehingga ribuan ringgit sehari hasil daripada aktiviti tersebut. Salah seorang suspek mengakui hanya berhubung rakannya yang berada di Indonesia untuk urusan judi dalam talian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rahimi berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.