Andalusia teroka perniagaan kurma

Pasar produk Kurma Yang Dirindui (KYD) sebagai pengubat rindu kepada jemaah yang mahu ke Tanah Suci Makkah.

Ida Riswana menunjukkan stok kurma yang terdapat di Ibu Pejabat Andalusia.
Ida Riswana menunjukkan stok kurma yang terdapat di Ibu Pejabat Andalusia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) kini mengorak langkah dalam perniagaan baharu dengan memasarkan produk kurma, Kurma Yang Dirindui (KYD) menerusi syarikat Andalusia Food Industries Sdn Bhd.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris berkata, Andalusia menerokai perniagaan baharu itu berikutan perniagaan mengendalikan pakej haji dan umrah tidak dapat beroperasi kerana penularan Covid-19 sejak awal tahun 2020.

Menurut Ida Riswana, Andalusia menceburi bidang perniagaan dengan menjual produk KYD sebagai salah satu cara untuk menjadi pengubat rindu kepada jemaah yang betul-betul ingin kembali ke Tanah Suci Makkah.

Kurma Ajwa.
Kurma Ajwa.

“Sejak berhadapan dengan pandemik Covid-19, ramai jemaah Andalusia sentiasa bertanya bila agaknya kita boleh mula kembali mengerjakan umrah dan menziarahi makam Rasulullah SAW di Madinah.

“Justeru, apa yang Andalusia boleh berikan kepada mereka yang merindui Makkah dan Madinah, maka timbullah idea untuk mengimport kurma dari Madinah,” katanya kepada Sinar Ahad di Ibu Pejabat Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Ida Riswana berkata, pihaknya turut beralih kepada perniagaan kurma untuk meneruskan perniagaan dan menyelamatkan pekerja mereka.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka hilang sumber pendapatan hampir setahun.

Artikel Berkaitan:

“Selepas industri pelancongan kami ditutup pada 28 Februari 2020, kami langsung tiada perniagaan ataupun sumber pendapatan.

“Kami mempunyai 300 kakitangan di syarikat Andalusia Travel & Tours. Hampir separuh daripada mereka terpaksa ditamatkan perkhidmatan. Malah, ada juga yang mengambil cuti tanpa gaji.

“Disebabkan tidak mahu lagi kehilangan pekerja, maka kami mula dengan perniagaan kurma pada 9 Februari lepas, tidak sampai dua bulan,” katanya.

Proses pembungkusan kurma di Andalusia Food Industries Sdn Bhd.
Proses pembungkusan kurma di Andalusia Food Industries Sdn Bhd.

Harga kompetitif

Menurut Ida Riswana, Andalusia Food Industries menfokuskan kepada jualan produk kurma Ajwa.

“Selain itu kita juga ada menawarkan kurma Safawi dan Anbar dari Madinah serta kurma Medjoul yang diimport khas dari Palestin,” katanya.

Apa yang membezakan KYD dengan jenama kurma yang lain, beliau berkata, harga KYD sangat kompetitif berbanding dengan jenama lain di pasaran kurma di Malaysia.

Bilik sejuk yang suhunya -5 darjah celsius untuk menempatkan kurma supaya tahan lebih lama.
Bilik sejuk yang suhunya -5 darjah celsius untuk menempatkan kurma supaya tahan lebih lama.

“Harga KYD Ajwa bermula dari RM60 hingga RM90 sekilogam. Memang sangat murah berbanding dengan kurma yang jemaah umrah biasa beli di pasar kurma atau ladang kurma di Madinah.

“Kedua, kurma KYD adalah kurma tuaian baharu. 'Consignment' kurma pertama telah tiba di Andalusia pada 9 Februari 2021 dan ia merupakan tuaian bulan Disember 2020.

“Kita juga ada menerima banyak maklum balas daripada pelanggan. Kebanyakan mereka suka dengan pembungkusan KYD. Kotaknya cantik dengan emboss gold dan sangat sesuai untuk dijadikan hadiah,” katanya.

MOTAC tawar pelbagai inisiatif

Dalam perkembangan sama, Ida Riswana turut berterima kasih kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) kerana menawarkan beberapa inisiatif termasuk memperbaharui lesen tanpa bayaran.

“Pihak kementerian juga membenarkan kami berniaga. Kalau ikutkan dalam musim biasa, ia adalah satu larangan untuk berniaga benda lain selain pakej pelancongan.

“Tetapi disebabkan oleh Covid-19 ini, semua ejen pelancongan diberi kelonggaran untuk berniaga di premis masing-masing sehingga satu tempoh diberitahu kelak,” katanya.

Setakat ini Andalusia mempunyai 42 cawangan yang menawarkan KYD dan lebih 600 orang sudah pun menjadi dropship (DS), ejen (AG) dan juga stokis( ST).

Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh layari portal www.kurmadirindui.com ataupun Facebook dan Instagram @kurmaDirindui atau hubungi 013- 799 285 (Wana) / 013-2799 286 (Fazlina).