Polis sahkan budak lima tahun tidak didera

Ahmad Shukri Mat Akhir
Ahmad Shukri Mat Akhir
A
A
A

ALOR SETAR - Kebimbangan seorang ibu yang menyangka anaknya didera meleset apabila hasil pemeriksaan rapi di sebuah hospital, dekat sini mendapati tiada kesan cedera mahupun trauma pada kanak-kanak tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang ibu berusia 30an pada Jumaat mendakwa anak perempuannya berusia lima tahun kemungkinan telah didera.

Menurutnya, wanita tersebut cuba berjumpa anaknya yang berada dalam jagaan keluarga bekas suaminya sejak 2018 pada Khamis namun dia tidak dibenarkan berbuat demikian.

"Akibat daripada itu dan atas nasihat kawan, pengadu membuat laporan polis kerana kemungkinan punca keluarga bekas suaminya membawa lari anak perempuan pengadu adalah disebabkan mempunyai kesan dera atau telah didera oleh keluarga tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, kanak-kanak itu telah dibawa oleh keluarga yang menjaganya ke Balai Polis Alor Setar dan hasil pemeriksaan awal serta percakapan, kanak-kanak itu memberitahu tiada sesiapa yang memukulnya.

Menurutnya, kanak-kanak itu juga dalam keadaan baik dan tidak terdapat kesan kecederaan pada badannya.

"Kanak-kanak itu turut dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan hasil pemeriksaan doktor yang disaksikan polis dan pengadu, tiada apa-apa kesan kecederaan dan dia dalam keadaan aktif serta ceria.

"Kanak-kanak itu juga tidak menunjukkan apa-apa reaksi trauma dan takut terhadap ahli keluarga yang menjaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pengadu berpuas hati dengan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak hospital termasuk dapat berjumpa anaknya itu.