'Sampai masanya akan berubah'

Saarani (tengah) melawat ladang cili fertigasi yang diusahakan di Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran Air Jernih, Kampung Ulu Kenderong, Gerik pada Sabtu.
Saarani (tengah) melawat ladang cili fertigasi yang diusahakan di Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran Air Jernih, Kampung Ulu Kenderong, Gerik pada Sabtu.
A
A
A

GERIK - UMNO Perak menyifatkan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menolak pembentukan penjajaran baharu menubuh kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai terlalu awal.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, politik negara adalah dinamik yang mana ia boleh berubah-ubah mengikut keadaan semasa.

"Politik ini sangat dinamik. Suatu ketika, Pas pernah berkelahi dengan UMNO selama 60 tahun, tiba-tiba kita boleh buat Muafakat Nasional. Baik dan elok pula duduk bersama.

"Bila sampai masanya nanti, ia akan berubah segala-galanya. Kalau orang tanya saya, saya jawab ikut skrip Tuhan sahaja. Itu lagi senang," katanya pada sidang akhbar selepas program Mahabbah Jalinan Kasih dan perasmian Dewan Terbuka Tok Saad di Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran Air Jernih, Kampung Ulu Kenderong, di sini pada Sabtu.

Mengulas tindakan Bersatu dan Pas Perak menubuhkan jawatankuasa bersama untuk menghadapi PRU15, Saraani berkata, perkara itu sudah boleh dijangkakan.

"Kita faham Pas dan Bersatu berkolaboratif dalam Perikatan Nasional (PN) jadi betullah mereka akan agihkan kerusi.

"Kita dalam Barisan Nasional (BN) akan agih dengan parti komponen seperti MCA dan MIC. Itu perkara biasa tiada masalah," katanya.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, UMNO Perak akan bertanding di beberapa kawasan yang dikenal pasti boleh menang.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa UMNO akan kehilangan banyak kerusi sekiranya bergerak solo.

"Jika ditanya kepada musuh UMNO, memang mereka akan cakap begitu, contohnya orang main bola, dia mesti cakap pasukan lawan tidak kuat.

"Bagaimanapun, kita menyerahkan kepada ALLAH yang merupakan sebaik-baik perancang. Kalau pegang (kata-kata) itu, selamat dunia dan akhirat," katanya.

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan Bersatu dan Pas menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15 dan menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15 terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Pada Jumaat, Bersatu dan Pas Perak akan membentuk jawatankuasa manifesto bagi PN Perak sebagai tanda kesepakatan.