Dakwaan salah laku hakim, Kehakiman buat laporan polis

A
A

KUALA LUMPUR - Susulan pendedahan dibuat seorang hakim mahkamah rayuan mengenai campur tangan terbuka Badan Kehakiman, badan itu tampil membuat laporan polis hari ini.

Pendedahan itu dibuat melalui afidavit sokongan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer yang diikrarkan semalam.

Pendedahan melalui afidavit sokongan itu berikutan kes saman pemula yang difailkan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo terhadap Ketua Hakim Negara.

Sangeet memfailkan saman pemula itu kelmarin bagi memohon perisytiharan bahawa Ketua Hakim Negara gagal mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia.

Melalui satu kenyataan media dikeluarkan Pejabat ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, badan itu menegaskan mereka tidak berhasrat menjawab kandungan tuduhan itu kerana prosiding saman itu masih berlangsung di mahkamah.

Menurut kenyataan itu, tuduhan dalam afidavit sokongan itu kerana ia terlalu umum dan boleh menjejaskan reputasi Badan Kehakiman secara keseluruhan.

Tegasnya, tindakan menjawab dakwaan berkenaan boleh menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap institusi itu terjejas dan seterusnya, mempunyai kesan buruk terhadap fungsi pentadbiran keadilan.

"Kehakiman sentiasa menyedari kepentingan untuk memelihara keyakinan orang ramai terhadap institusi itu dan sentiasa fokus untuk menjaga keutuhan dan integritinya bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat berfungsi dengan baik,"menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, Badan Kehakiman sedang melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan dalam pentadbiran keadilan.

"Perlu diingatkan bahawa agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan sedang meneliti dakwaan dibuat.

"Keputusan sama ada terdapat keperluan untuk menubuhkan Inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) adalah terletak di tangan kerajaan," jelas kenyataan itu.

Melalui saman pemula itu, Sangeet mendakwa, isu itu mula timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal diubah akibat campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan dan kes membabitkan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapanya yang memeluk Islam.