Berdepan pengganas Sulu bertangkal

Azizan - FOTO ASRIL ASWANDI
Azizan - FOTO ASRIL ASWANDI
A
A
A

PERISTIWA Lahad Datu Sabah meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu pada tahun 2013.

Sekumpulan lelaki bersenjata yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara’ telah dihantar oleh Jamalul Kiram III yang merupakan salah seorang daripada pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.

Angkatan ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram itu yang merupakan saudara lelaki kepada ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram III menceroboh masuk Sabah dengan alasan ingin menuntut Sabah kembali menjadi wilayah Kesultanan Sulu.

Kawasan pertempuran di Lahad Datu.
Kawasan pertempuran di Lahad Datu.

Kehadiran sebahagian pengganas itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada 11 Februari 2013 dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tanduo.

Insiden Lahad Datu turut menyaksikan dua anggota VAT 69 Komando, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sabaruddin Daud serta enam anggota polis gugur di medan pertempuran itu.

Bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Operasi Bukit Aman, Datuk Azizan Abd Aziz berkata, Ops Daulat adalah operasi yang dianggap paling mencabar sepanjang 40 tahun beliau berkhidmat dalam pasukan PDRM.

Artikel Berkaitan:

Kelongsong peluru bertaburan di laman rumah penduduk kampung di Lahad Datu.
Kelongsong peluru bertaburan di laman rumah penduduk kampung di Lahad Datu.

“Ia merupakan satu kenangan yang signifikan bagi diri saya kerana ia merupakan sejarah dalam kerjaya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang baru-baru ini.

Azizan yang pada ketika itu sebagai Komander VAT 69 memaklumkan beliau pergi ke Lahad Datu pada 22 Februari 2013.

“Saya sempat berpesan kepada pasukan operasi bahawa mereka harus berjuang demi kedaulatan negara,” katanya.

Jamalul Kiram III - Foto AFP
Jamalul Kiram III - Foto AFP

Tambah Azizan, sebelum operasi, pihaknya menerima maklumat bahawa penceroboh bersenjata itu menggunakan tangkal kononnya sebagai ‘pelindung’.

“Kita menerima maklumat daripada Special Branch memaklumkan pasukan penceroboh itu ada yang memakai tangkal.

“Selepas pertempuran pula, kita memeriksa mayat penceroboh dan menjumpai beberapa tangkal yang dipakai oleh musuh di tangan, lilitan di kepala dan di pinggang,” katanya.

Baju yang dipenuhi kesan peluru dengan lambang Tentera Kesultanan Sulu di belakang.
Baju yang dipenuhi kesan peluru dengan lambang Tentera Kesultanan Sulu di belakang.

Penghargaan

Sebagai menghargai pengorbanan wira-wira yang gugur, Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan pangkat kepada mereka.

Inspektor Zulkifli dinaikkan pangkat kepada Asisten Superintendan dan Sabaruddin kepada Sarjan. Enam lagi ialah Superintendan Ibrahim Lebar (Asisten Komisioner), Asisten Superintendan Michael Anak Padel (Deputi Superintendan), Sarjan Abdul Aziz Sarikon (Sarjan Mejar), Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran (Koperal), Sarjan Baharin Hamit (Sarjan Mejar) dan Koperal Salam Tugiran (Sarjan).

Dua anggota Angkatan Tentera Malaysia yang terkorban iaitu Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, yang gugur semasa pertempuran dan Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, masing-masing dinaikkan pangkat Koperal.

Antara wira yang gugur mempertahankan kedaulatan negara.
Antara wira yang gugur mempertahankan kedaulatan negara.

Najib menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, tentang betapa pentingnya meningkatkan persiapan untuk menghadapi ancaman luar.

Detik awal terlibat pasukan VAT 69

Mengimbas detik awal terlibat dalam pasukan itu, Azizan berkata, beliau mula berkhidmat dengan pasukan PDRM pada 13 Mei 1978.

“Sebelum menjadi pegawai polis, saya pernah bertugas sebagai 'despatch clerk' di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Serdang,” katanya.

Beliau berkata, bapanya yang juga bekas anggota polis turut memberi dorongan kepadanya untuk berkhidmat dalam PDRM.

“Saya menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur selama tujuh bulan, kemudian ditukarkan ke Batalion 5 Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada Disember 1978,” katanya.

Azizan (duduk) pernah menjadi Komander VAT 69.
Azizan (duduk) pernah menjadi Komander VAT 69.

Azizan berkata, beliau pernah menjalani kursus asas PPH selama tiga bulan di Hulu Kinta, Perak.

“Semasa menjalani kursus itu, dalam tempoh dua minggu sebelum berakhir kursus tersebut, ada tawaran untuk masuk pasukan VAT 69.

“Tawaran itu tidak terbuka kepada semua, hanya 30 anggota polis yang terbaik dari segi fizikal dapat memasuki VAT 69,” katanya.

Azizan berkata, pada awalnya, beliau tidak terpilih dalam senarai 30 anggota polis yang terbaik itu, namun ada sebahagiannya telah menarik diri menyebabkan beliau segera menawarkan diri untuk memasuki pasukan yang dianggap hebat itu.

Beliau kemudian menyertai kursus asas VAT 69 selama tiga bulan di Gunung Jerai, Kedah.

“Selepas dua atau tiga bulan tamat latihan, saya menyertai Troop 11 C Squadron.

“Misi saya pada ketika itu adalah membuat sekatan terhadap pergerakan komunis dalam Operasi Setia di kawasan Slim River, Perak,” katanya.

Pengalaman

Azizan berkata, pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah insiden letupan bom dan tembak-menembak selepas pasukannya baru bergerak keluar dari salah sebuah kem komunis.

“Kita telah berpatah balik ke kem tersebut lalu membuat gerakan serta serangan ke arah musuh sehingga keadaan kembali selamat,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pasukannya tidak menjumpai mayat musuh, namun kesan letupan bom itu membongkarkan tempat simpanan makanan pasukan komunis di kem berkenaan.

Pasukan polis dan askar yang berada di sekitar kawasan Lahad Datu.
Pasukan polis dan askar yang berada di sekitar kawasan Lahad Datu.

“Kita menjumpai beberapa tong minyak, generator serta makanan yang disembunyikan oleh komunis untuk kegunaan kem mereka dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Azizan berkata, pasukannya kemudian telah membuat 'follow up tracking' kira-kira 200 meter dari kem berkenaan bagi mengesan jejak komunis melarikan diri.

“Pasukan lain telah membuat penjejakan komunis dalam tempoh dua hari.Sebelum berlaku pertempuran, dua askar komunis maut dalam insiden itu.

“Saya juga dimaklumkan beberapa askar komunis yang cedera parah dalam pertempuran di kem sebelum itu berjaya diberkas oleh pasukan Special Branch di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor,” katanya.

Nasihat

Dalam pada itu, Azizan menasihatkan anggota polis yang mahu menyertai pasukan VAT 69 agar bersiap sedia dari segi mental dan fizikal.

“Dari segi mental, mereka perlu bersiap sedia berdepan musuh dalam apa juga keadaan dan senario sama ada susah, senang, sedih dan gembira serta mereka boleh absorb and still stable.

“Dari segi fizikal pula, mereka perlu sentiasa bersedia kerana jika fizikal tidak bersedia ia boleh menganggu emosi,” katanya.