Covid-19: 53 kes aktif, Labuan kembali jadi zon merah

No Image Caption
A
A
A

LABUAN- Labuan telah diisytiharkan semula sebagai zon merah selepas kes Covid-19 melepasi 40 kes dalam tempoh 14 hari.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, pengisytiharan semula Labuan sebagai zon merah pada 31 Mac itu, berikutan peningkatan mendadak kes dalam tempoh beberapa hari lepas dengan jumlah keseluruhan kes aktif hari ini 53 kes.

Pengisytiharan zon merah selepas timbulnya Kluster Pulau Enoe dengan 17 kes setakat hari ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata, usaha pemantauan akan dipertingkatkan dengan jangkaan peningkatan jumlah kes dalam masa terdekat.

“Kami akan berusaha untuk mengelakkan penularan pandemik itu daripada Kluster Pulau Enoe pada masyarakat lain,” katanya.

Dr Ismuni berkata, Kluster Jalan Kemajuan yang melibatkan tempat kerja di tengah-tengah bandar, sehingga kini melibatkan 20 kes manakala Kluster Merinding melibatkan institusi pengajian tinggi juga terkawal dan kekal dengan enam kes.

“Kebanyakan kes dilaporkan melibatkan penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga dan di tempat kerja,” katanya.

Berikutan timbulnya dua kluster Pulau Enoe dan Jalan Kemajuan, beberapa premis menjual makanan termasuk sebuah hypermarket telah diarahkan ditutup untuk disanitasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: