Pegawai daerah diarah gerakkan PBT periksa SOP: Amirudin

Amirudin (kiri) berbincang sesuatu bersama Rodziah (dua dari kanan) selepas majlis pelancaran berkenaan yang berlangsung di SACC Mall, pada Jumaat.
Amirudin (kiri) berbincang sesuatu bersama Rodziah (dua dari kanan) selepas majlis pelancaran berkenaan yang berlangsung di SACC Mall, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pegawai daerah di Selangor diarahkan untuk menggerakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap kawasan bagi melakukan pemeriksaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya memberi arahan tersebut menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri yang berlangsung pada Khamis.

Beliau berkata, arahan itu juga bagi menggelakkan wujudnya Kluster Bazar yang mungkin mendorong kepada perebakan baharu wabak Covid-19 selepas ini.

"PBT akan digerakkan bagi membantu memeriksa pematuhan kerana kita tak mahu berlakunya Kluster Bazar yang boleh menyebabkan perebakan selepas gelombang ketiga ini yang semakin melandai," katanya selepas Majlis Pelancaran Platform Beli Belah Atas Talian Bazaarlokal dan Majlis Perasmian Festival Ramadan Selangor 2021yang berlangsung di SACC Mall, pada Jumaat.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai SOP solat terawih di Selangor, Amirudin berkata, perkara tersebut telah dimuktamadkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan akan diumumkan selepas ini.

"Saya juga yakin Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah membuat penilaian sebaiknya berhubung perkara ini.

"Hal ini akan dimaklumkan oleh Jais," katanya.

Artikel Berkaitan: