Perangkaan kumpul maklumat tentang Perak

Rafliza (kanan), Nur Aizatul Hajar (berdiri), Maslina Samsudin dan Mohd Damanhuri menunjukkan surat dan dokumen yang digunakan untuk tujuan survei berkenaan.
Rafliza (kanan), Nur Aizatul Hajar (berdiri), Maslina Samsudin dan Mohd Damanhuri menunjukkan surat dan dokumen yang digunakan untuk tujuan survei berkenaan.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) Perak sedang melaksanakan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) dan Kemudahan Asas (BA) 2019 bermula Januari hingga Disember tahun ini.

Pengarahnya, Rafliza Ramli berkata, survei berkenaan amat penting bagi mengumpul maklumat taburan pendapatan dan pola perbelanjaan isi rumah termasuk mengenal pasti golongan sasar seperti isi rumah B40 dan miskin.

Beliau berkata, hasil survei itu akan digunakan oleh kerajaan dalam menyediakan dan memantau Rancangan Malaysia.

"Penemuan survei ini sentiasa dinantikan kerajaan dan penganalisis untuk menilai kemajuan negara terutama berkaitan agihan pendapatan yang dinikmati rakyat.

"Bagi tujuan pelaksanaan survei HIES pada tahun ini, dianggarkan sejumlah lebih 7,000 tempat kediaman terpilih di Perak meliputi semua daerah pentadbiran akan dilawati," katanya kepada Sinar Harian dalam satu pertemuan di Pejabat JPM Perak, di sini.

Turut sama dalam pertemuan itu, Timbalan Pengarah JPM Perak, Maslina Samsudin, Penolong Pengarah Jabatan Perangkaan Perak, Nur Aizatul Hajar Abdul Kadar dan Mohd Damanhuri Abdul Aziz.

Rafliza berkata, sehubungan itu, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk memberikan maklumat yang tepat kepada JPM.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan kehadiran pegawai perangkaan yang akan memperkenalkan diri bersama kad kuasa pengenalan pegawai dan surat pemakluman perlaksanaan HIES dan BA 2019 serta memakai vest Jabatan Perangkaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Responden atau orang awam boleh hubungi pejabat JPM Perak untuk mendapatkan pengesahan selain melayari portal www.dosm.gov.my bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai survei ini.

"Maklumat-maklumat yang dikumpul oleh pegawai JPM adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan perangkaan kerana tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (disemak 1989)," katanya.

Menurut Rafliza, pihaknya sedang membuat hebahan dan pemakluman kepada orang ramai berhubung pelaksanaan survei ini termasuk melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).