Tak perlu pertikai, MKT tak bodoh: Tajuddin

Tajuddin ketika bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar pada Jumaat.
Tajuddin ketika bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

PASIR SALAK - Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung penangguhan pemilihan parti tidak perlu dipertikaikan.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, mereka yang berada dalam barisan kepimpinan tertinggi itu tahu perkara terbaik untuk parti dengan memberi keutamaan dan fokus menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terlebih dahulu.

Menurutnya, pemilihan parti yang dibuat sebelum PRU15 boleh menjejaskan usaha penyatuan ahli dan persediaan yang telah dilakukan sebelum ini.

"Apa guna kita sibuk-sibuk dengan pemilihan parti, nak pegang jawatan dan sebagainya jika esok lusa bila pilihan raya, semuanya bercempera (berpecah-belah). Jadi dari segi prioritinya sudah salah di situ.

"Saya beri amaran kepada Khairy (Khairy Jamaluddin Abu Bakar), jangan ingat kita bodoh, lagi pula kita tahu siapa dia, apa yang dia lakukan dan apa yang dia mahu lakukan.

"Penangguhan ini sudah dipersetujui dan dibincangkan dalam perjumpaan-perjumpaan UMNO sebelum ini dan ia sudah diputuskan pun, jadi tak perlulah dia beria-ia dengan gesaan supaya disegerakan pemilihan parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pemilihan kepimpinan baharu UMNO Jun ini'

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, dalam keadaan pentadbiran kerajaan terumbang-ambing ini, adalah mustahil untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menangguhkan PRU15 sehingga 2023.

Katanya, mahu atau tidak, Muhyiddin perlu menyegerakan pilihan raya agar sebuah kerajaan yang dipilih daripada mandat rakyat dapat dibentuk.

"Saya faham ada orang nak pegang jawatan dalam parti supaya bila pilihan raya nanti dia dapat menguasai keputusan yang memihak kepada dia.

"Tetapi bersabarlah, selesaikan dulu pilihan raya, selepas itu jika nak bertanding-bertandinglah, nak jadi presiden atau timbalan presiden pun boleh," katanya.