Tiada laporan perisik Korea Utara jadikan Malaysia transit beli senjata

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan belum menerima laporan berhubung dakwaan mengatakan Korea Utara masih membenarkan ejen perisik mereka menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membeli senjata dan barang mewah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu juga tiada dalam maklumannya.

"Setakat hari ini kita belum dapat laporan tentang perkara ini daripada kita punya (pasukan) risik dan sebagainya.

"Kadang kala mereka mungkin gempar sahaja. Kita tidak tahu.

"Jadi kita jangan melompat cepat dan memberikan jawapan yang mungkin boleh mengeruhkan lagi suasana," katanya pada sidang akhbar selepas selesai Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4X4 (HMAV 4X4) Pertama Malaysia di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, pada Jumaat.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media Korea Utara berhubung dakwaan mengatakan negara itu masih membenarkan ejen perisik mereka menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membeli senjata dan barang mewah.

Tegas Ismail Sabri lagi, aspek keselamatan negara dan rakyat sememangnya menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dalam hal membabitkan hubungan antara negara, perkara itu di bawah rundingan Kementerian Luar Negeri (KLN).

Artikel Berkaitan:

"Adalah lebih baik dapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Luar Negeri sebab dari segi rundingan, perbincangan KLN tidak melibatkan Kementerian Pertahanan," katanya.

Korea Utara pada 19 Mac lalu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ia selepas seorang rakyat republik itu, Mun Chol Myong gagal dalam permohonan di mahkamah untuk mengelakkan diri daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram dan melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Susulan itu Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada 33 kakitangan serta keluarga Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur untuk meninggalkan Malaysia.