75 tahun RTM terus unggul

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (dua, kanan) bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (dua, kiri) memotong kek sambutan ulang tahun RTM ke-75 dan Okestra RTM ke-60 di Angkasapuri. Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (dua, kanan) bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (dua, kiri) memotong kek sambutan ulang tahun RTM ke-75 dan Okestra RTM ke-60 di Angkasapuri. Foto Bernama
A
A
A

TANGGAL 1 April merupakan tarikh yang bermakna buat dunia penyiaran khususnya stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menyambut ulang tahun ke-75 selepas mula ditubuhkan pada tahun 1946.

Sungguhpun RTM merupakan salah satu stesen penyiaran yang terdapat di negara ini namun tidak dapat disangkal lagi sumbangannya dalam dunia penyiaran.

Sepanjang 75 tahun penubuhannya, pelbagai perkembangan industri penyiaran telah disaksikan baik dari segi perkembangan teknologi, penubuhan stesen penyiaran swasta, penghasilan program serta lahirnya personaliti-personaliti tersohor yang mewarnai dunia penyiaran negara ini.

Seperti stesen penyiaran lain, RTM juga tidak kurang berdepan dengan pelbagai kritikan dan ujian namun atas dasar tanggungjawab kepada rakyat, RTM terus melangkah seiring dengan pembangunan dan kemajuan negara.

Saya sendiri rasa bertuah kerana pernah menjadi sebahagian daripada warga kerja atau dalam erti kata lain, saya juga turut serta dalam perkembangan 75 tahun RTM.

Sebelum menyertai RTM, sememangnya saya juga seperti sesetengah penonton dan pendengar yang kerap kali mengkritik RTM mungkin kerana saya terlalu membandingkan persembahan RTM dengan stesen penyiaran lain.

Namun RTM sebenarnya berada dalam kelas tersendiri tetapi ini bukan bermakna RTM boleh mendabik dada tanpa memikirkan selera yang dikehendaki rakyat.

Cuma harus diingat, RTM adalah stesen penyiaran kerajaan dan sebagai mewakili kerajaan bermakna mereka harus ‘berkhidmat’ kepada semua kelompok masyarakat yang ada di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Ketika RTM hanya memiliki dua saluran televisyen dan beberapa saluran radio, pastinya sukar untuk memuaskan hati semua orang.

Justeru, tidak hairanlah kritikan dilemparkan terhadap RTM sedangkan mereka mencuba yang terbaik untuk memastikan setiap golongan dapat menikmati kandungan yang disampaikan termasuklah program hiburan dan yang lebih penting, program yang bersifat informasi seperti berita.

Di sebalik tabir

Program-program yang dihasilkan oleh RTM sama ada menerusi unit-unit dalam RTM sendiri atau syarikat penerbitan juga boleh dikatakan program yang setanding dengan program yang kita lihat menerusi stesen penyiaran lain.

Pastinya antara program atau drama yang kita masih ingat hingga hari ini dan meninggalkan kesan tersendiri buat kita semua termasuklah drama Opah, Hiburan Minggu Ini, Bintang RTM serta program berita seperti Dunia Jam 10.

Komitmen yang diberikan kakitangan RTM termasuklah yang di sebalik tabir sebenar tidak perlu dipertikaikan.Sepanjang pengalaman saya berada di RTM saya dapat lihat dedikasi yang telah diberikan setiap mereka dalam memastikan hari-hari kita terus dihidangkan dengan pelbagai pengisian tanpa gagal.

Memasuki era baharu ini, RTM juga tidak ketinggalan berdepan dengan cabaran teknologi media baharu dan ini pastinya akan terus menjadi cabaran buat RTM pada masa depan.

Namun saya percaya RTM mampu menghadapinya, cuma RTM juga perlu memastikan bahawa mereka mampu menjadi stesen penyiaran bertaraf dunia atau setidak-tidaknya RTM menjadi ikutan di rantau Asia Tenggara mahupun Asia.

Sudah sampai masa RTM menjadi penanda aras dan mampu duduk sebaris dengan stesen penyiaran lain.

Tetapi itu semua bukan kerja RTM sahaja, ia juga menuntut sokongan segenap lapisan masyarakat di negara ini. RTM adalah ‘milik’ kita semua. Kita harus berbangga dengannya.

Selamat Hari Ulang Tahun ke-75 buat RTM. Terus unggul menjadi wadah kebanggaan negara ini.

* Ahmad Faisal Mohamed Fiah ialah bekas wartawan penyiaran sukan, pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM serta Setiausaha Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia.