Sajat tidak akan terlepas daripada perbicaraan

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat 'bersembunyi' tidak akan melepaskan dirinya daripada dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary sehubungan itu meminta Nur Sajat agar hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan kes yang berkait dengan dirinya untuk diselesaikan.

“Sebarang pelanggaran kepada prosedur undang-undang dalam negara kita, termasuk melarikan diri daripada menghadiri perbicaraan kes di mahkamah, sama ada suspek lari di dalam atau luar negara akan tetap diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Kepada individu berkenaan (Nur Sajat), hadirlah ke mahkamah dan beri kerjasama kepada pihak berkuasa agama negeri untuk menyelesaikan kes bersabit dengannya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Program My#HadithTime di Kompleks Karangkraf di sini pada Khamis.

Ketika ditanya berhubung dengan rakaman video Nur Sajat yang mahu keluar daripada Islam beberapa bulan lalu, Ahmad Marzuk berkata, usahawan kosmetik itu tetap akan dikenakan hukuman sekiranya bersalah walaupun mengambil keputusan untuk murtad.

Katanya, terdapat peruntukan hukuman di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kepada individu yang berbuat demikian.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis masih lagi mencari Nur Sajat yang kini menghilangkan diri termasuk berkemungkinan berada di luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN Sajat mungkin ada di luar negara

PGA edar gambar Sajat di pos kawalan, elak bolos ke negara jiran

Artikel Berkaitan: