PGA edar gambar Sajat di pos kawalan, elak bolos ke negara jiran

Timbalan Komander Briged Utara PGA ACP Mohd Noh Khamis (kanan) memberi penerangan pada sidang media mengenai pengedaran gambar usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat di sepanjang pos kawalan keselamatan bagi mengelak dari bolos masuk ke negara jiran.
Mohd Noh berkata gambar Sajat mula diedarkan sejak bulan lepas namun sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat melibatkan individu berkenaan. Foto Bernama
Timbalan Komander Briged Utara PGA ACP Mohd Noh Khamis (kanan) memberi penerangan pada sidang media mengenai pengedaran gambar usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat di sepanjang pos kawalan keselamatan bagi mengelak dari bolos masuk ke negara jiran. Mohd Noh berkata gambar Sajat mula diedarkan sejak bulan lepas namun sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat melibatkan individu berkenaan. Foto Bernama
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) mengedarkan gambar usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau dikenali ramai dengan nama Nur Sajat di sepanjang pos kawalan keselamatan bagi memastikan dia tidak dapat bolos ke negara jiran.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, gambar Sajat mula diedarkan sejak bulan lepas namun sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat melibatkan individu berkenaan.

“Kita memang sentiasa lakukan kawalan ketat di sempadan, setakat ini, pintu sempadan memang tidak dibuka kepada orang awam dan hanya kenderaan berat yang membawa barangan industri sahaja dibenarkan melepasi sempadan.

“Negara paling dekat untuk dia (Sajat) keluar ialah Thailand, jadi kita akan teruskan pemerhatian. Mungkin juga akan berlaku penyamaran bagi mengelak daripada dikesan pihak penguat kuasa. Jadi kita akan teruskan kawalan ketat di semua pos kawalan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PGA membuat kawalan ketat di pos kawalan sempadan bagi memastikan Sajat tidak lolos ke negara jiran.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Sajat kemungkinan telah berada di luar negara selepas dikatakan menghilangkan diri sejak waran tangkap ke atasnya dikeluarkan 23 Februari lepas.

Dalam perkembangan lain, Mohd Noh berkata, sejak Batalion 3 PGA mengambil alih tugas Op Benteng Covid Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand pada 1 Mac lepas, pihaknya berjaya menumpaskan 26 kes melibatkan pelbagai kesalahan.

“Kes-kes ini melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1953. Kita juga berjaya menahan empat lelaki tempatan dan tiga lelaki Thailand berumur 20-an.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga merampas 3,567 kilogram (kg) daun ketum, 465 botol ubat batuk, lima biji pil kuda, 4.11 gram syabu dan enam motosikal yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM128,871,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Sajat mungkin ada di luar negara