Misteri kehilangan pelajar lepasan SPM

Ahmad Sazali(kanan) dan Shuhaila menunjukkan gambar potret yang turut mengandungi gambar Muhammad Ariff di rumahnya di Taman Bahagia, petang tadi. Gambar kecil: Muhammad Ariff
Ahmad Sazali(kanan) dan Shuhaila menunjukkan gambar potret yang turut mengandungi gambar Muhammad Ariff di rumahnya di Taman Bahagia, petang tadi. Gambar kecil: Muhammad Ariff
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikhuatiri hilang setelah tidak pulang ke rumah seharian selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Taman Bahagia, Jalan Terusan di sini pagi semalam.

Lebih mengejutkan, kehilangan Muhammad Ariff Ahmad Sazali,18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh juga dianggap misteri kerana mangsa difahamkan tidak menunjukkan sebarang kelakuan luar biasa sebelum ini.

Bapa mangsa, Ahmad Sazali Ishak,47, berkata, pihaknya menyedari ketiadaan Muhammad Ariff setelah pulang dari tempat kerja pada jam 2 petang, namun beranggapan mangsa keluar berjalan bersama rakan-rakannya ketika itu.

Menurutnya, selepas bertanya dengan jiran berhampiran, dia dimaklumkan ada jiran ternampak Muhammad Ariff keluar dari rumah dengan memakai beg galas kecil.

"Muhammad Ariff masih rak balik ke rumah pada lewat petang, ibunya menghubungi abang sulung yang berada di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bagi mendapatkan nombor telefon anak kedua saya itu.

"Kami cuba hubungi nombor telefon baharu Muhammad Ariff itu, tapi gagal. Kami kemudiannya ada minta bantuan ahli keluarga dan rakan-rakan untuk bantu menjejaki Muhammad Ariff di kawasan Kerian hingga lewat malam, tapi masih gagal menjumpainya," katanya kepada media sewaktu ditemui di rumahnya di Taman Bahagia, di sini petang tadi.

Ahmad Sazali berkata, susulan usaha menjejaki Muhammad Ariff gagal, dia membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Lima pada jam 10.20 malam semalam.

Anak kedua dari lima beradik itu bukan seorang yang bersosial dan tidak pernah berjalan jauh dari rumah tanpa ditemani keluarga atau adik-beradiknya.

Artikel Berkaitan:

"Kami bingung memikirkan punca kehilangan Muhammad Ariff kerana selama ini dia anak yang baik, cuma gemar bersendiri.

"Sejak seminggu ini, dia rajin tolong kemas rumah dan sentiasa ceria dengan adik-beradik lain dan kami tak fikir dia ada masalah peribadi," katanya.

Sebagai bapa, Ahmad Sazali sudah lakukan pelbagai usaha mencari anaknya termasuk menghubungi pihak sekolah dan rakan-rakan Muhammad Ariff bertanyakan mengenai anaknya Muhammad Ariff tapi hampa.

"Selepas habis SPM, Muhammad Ariff jarang keluar rumah, kalau keluar pun ke surau untuk solat Maghrib.

"Harap sangat Muhammad Ariff segera ditemui kerana kami amat rindu dia, tambahnya.

Jika ada mana-mana pihak yang pernah menemui atau terserempak Muhammad Ariff boleh menghubungi Shuhaila Hamid (ibu Muhammad Ariff) 019-4654213 atau, Muhammad Fitri (abang Muhammad Ariff) di talian 019-5452371.