Tiada keperluan Sidang DUN alternatif

Hasni (duduk) menandatangani buku setem khas sempena Sambutan Hari RTM Ke-75 peringkat negeri Johor di Johor Bahru pada Khamis.
Hasni (duduk) menandatangani buku setem khas sempena Sambutan Hari RTM Ke-75 peringkat negeri Johor di Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada keperluan untuk melaksanakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) alternatif buat masa ini, sebagaimana yang dilaksanakan di Pulau Pinang.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, walaupun Sidang DUN tidak berlangsung susulan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 bermula 11 Januari lalu, fungsi kerajaan dan jabatan di Johor masih berjalan seperti biasa.

Menurut Hasni, beliau akan memastikan Belanjawan Johor 2021 akan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.

"Kita di Johor ada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang akan memantau setiap program berdasarkan Belanjawan 2021.

"Setiap perkara yang dibincangkan pada sidang DUN sebelum ini dan perancangan serta pelaksanaan Belanjawan akan dipantau dan dilaporkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco jika ada penambahbaikan.

"Dalam Ordinan Darurat ini, kita boleh meneruskan pentadbiran dan perbelanjaan jika memerlukan bajet tambahan dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari RTM Ke-75 peringkat Negeri Johor bertempat di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini pada Khamis.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Johor, Ramlee Johari.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, walaupun Sidang DUN tidak berlangsung dalam tempoh Ordinan Darurat, ia tidak menggugat atau melambatkan proses menjalankan sesuatu program untuk kepentingan rakyat Johor secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi buat masa ini, belum ada keperluan untuk mengadakan satu sidang khas bertujuan melihat semula dasar atau mengkaji semua keberkesanan Belanjawan 2021 dan program yang dibuat oleh kerajaan.

"Bagaimanapun, jika ia tidak bertepatan dengan program yang dibuat oleh kerajaan, maka kita akan gunakan kaedah yang dicadangkan (sidang khas) sebagai satu pendekatan.

"Tapi setakat hari ini, kita tidak melihat bahawa ada sebarang masalah untuk agensi kerajaan melaksanakan dasar kerajaan," katanya.

Pada Rabu, beberapa wakil rakyat pembangkang seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung dan ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse menggesa kerajaan Johor mengadakan Sidang DUN alternatif sebagaimana yang dilaksanakan di Pulau Pinang, agar wakil rakyat dapat menjalankan peranan ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan selain menyuarakan masalah rakyat.

Jelas mereka, sekarang masa terbaik untuk melaksanakannya kerana semua ADUN telah divaksin.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor perlu laksanakan Sidang DUN alternatif