Istana budaya 2021 bakal rancakkan kembali industri seni, budaya

Nancy Shukri (dua kanan) menerima cenderahati yang disampaikan Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md Desa (kanan) di Istana Budaya, hari ini. Foto Bernama
Nancy Shukri (dua kanan) menerima cenderahati yang disampaikan Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md Desa (kanan) di Istana Budaya, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun masih terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara, Istana Budaya, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) akan menampilkan 24 persembahan terpilih sebagai pengisian kepada programnya bermula April ini.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program Istana Budaya 2021 Norma Baharu itu diharap dapat direalisasikan bagi menghangatkan semula aktiviti seni persembahan pentas tanah air selain memberi peluang kepada syarikat produksi untuk kembali bergiat.

“Istana Budaya akan terus menganjurkan program pementasan yang menyokong kesejahteraan masyarakat.

Selain memartabatkan seni budaya persembahan, saya berharap Teater ‘Jalan Sehala’ yang dijangka dipentaskan pada September ini dapat menggalakkan masyarakat untuk terus mengamalkan kebiasaan norma baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada Majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2021 Norma Baharu di sini, pada Rabu.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha MoTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat, pengurusan tertinggi kementerian serta ketua jabatan dan agensi MoTAC.

Antara persembahan terpilih bagi program itu ialah Teater Bangsawan Raja Bersiong, Festival Gamelan Gema Gangsa, Konsert Tanah Airku bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan, Wayang bersama Konsert Orkestra Tradisional Malaysia, Konsert Ulang Tahun Ke-10 Genius Seni Muzik dan dramatari “Bakawali”.

Selain produksi Istana Budaya, terdapat beberapa program penganjuran pihak produksi luar termasuk Konsert 4G’S, Konsert Barisan Hadapan DJA (Datuk Jamal Abdillah) serta teater “Sengkela Perak” Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan turut dipentaskan.

Sepanjang tahun 2020, Istana Budaya merekodkan jumlah pengunjung seramai 13,677 orang sepanjang tempoh yang dibenarkan dengan jumlah pendapatan meliputi hasil jualan tiket dan sewaan ruang sebanyak RM1.02 juta.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, Istana Budaya masih meneruskan kerja persediaan artistik dan teknikal untuk program yang dirancang sepanjang 2021 dengan harapan semua program dapat dilaksanakan secara fizikal ataupun maya dengan mengambil kira perkembangan semasa Covid-19. - Bernama