X

Kindly register in order to view this article
!

Empat individu termasuk pengarah urusan bank ditahan SPRM

Antara individu yang ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman kewangan berjumlah RM400 juta kepada sebuah syarikat.
A
A

PUTRAJAYA - Empat individu termasuk bekas presiden merangkap pengarah urusan sebuah bank bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman kewangan berjumlah RM400 juta kepada sebuah syarikat.

Kesemua individu berusia lingkungan 49 hingga 53 tahun itu ditangkap di sekitar Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut sumber, keempat-empat individu yang ditahan itu menerima rasuah yang dianggarkan sebanyak SGD3,168.366.00 iaitu kira-kira RM8 juta sebagai komisen untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan sebanyak RM400 juta bagi projek yang dipercayai tidak wujud.

"Ini adalah suatu perbuatan licik dengan kerjasama 'orang dalam' iaitu dengan sengaja mewujudkan projek yang tidak sah dengan tujuan untuk memohon pinjaman kewangan," katanya.

Menurutnya, setelah pinjaman kewangan diluluskan dan wang diperoleh, syarikat yang memohon telah ditutup dan projek tidak dilaksanakan.

"Pengarah urusan bank tersebut dikatakan telah memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman tersebut tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan (due dilligent) disebabkan rasuah diterima," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan tersebut.

"Keempat-empat individu itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat.

"Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!