Undi 18, pendaftaran automatik perlu dibezakan

Mohd Azizuddin Mohd Sani. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Mohd Azizuddin Mohd Sani. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran secara automatik perlu dibezakan.

Penganalisis Politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, masa yang diberi dalam tempoh dua tahun untuk pelaksanaan pengundian secara automatik tidak mencukupi.

“Walaupun ada pandangan dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kita patut guna ‘big data’ dan sebagainya tapi ada kekangan untuk membolehkan pengundian secara automatik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-243 bertajuk ‘Tangguh Undi 18: Hak Belia Diketepi’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Petang Jaya, Maria Chin Abdullah manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dari kiri; Ismail Adnan, Mas Ermieyati, Maria Chin dan Dr Mohd Azizuddin pada Wacana siri ke-243 membincangkan topik Tangguh Undi 18: Hak Belia Diketepi. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Dari kiri; Ismail Adnan, Mas Ermieyati, Maria Chin dan Dr Mohd Azizuddin pada Wacana siri ke-243 membincangkan topik Tangguh Undi 18: Hak Belia Diketepi. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Dr Mahathir dilaporkan musykil mengapa Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menunda pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun sehingga September tahun depan.

Beliau turut mempersoal bagaimana SPR perlu mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan dua dasar baharu itu ketika semua data boleh diakses dengan mudah dalam zaman serba canggih ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, keperluan untuk mengundi automatik itu perlu tetapi ia tidak perlu dikaitkan dengan Undi 18.

Beliau berkata, kekangan dalam undi automatik kerana banyak melibatkan agensi kerajaan lain dalam usaha mendapatkan data yang kondusif.

“Saya pernah terlibat dengan Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya dan kajian kerana undi automatik ini memerlukan agensi kerajaan terlibat sama khususnya Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan data yang kukuh bagi membolehkan seseorang itu mengundi atau sebaliknya,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut mencadangkan pendaftaran Undi 18 dibuat secara normal seperti meminta mereka mendaftar di SPR.

“Ini bagi membolehkan mereka mengundi untuk pilihan raya akan datang. Jadi saya rasa itu perlu dibuka, jangan ditutup sekali.

“Dalam konteks ini saya rasa itu dapat merungkaikan mungkin sekarang ini ada pandangan yang menuduh kerajaan cuba menafikan hak undi 18 kepada orang muda takut nanti akan kalah dan sebagainya,” katanya.