Sultan Selangor sukacita pembinaan hospital awam di Kapar

Sultan Sharafuddin (tengah) mengadakan pertemuan dengan Dr Adham (tiga dari kiri) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Sultan Sharafuddin (tengah) mengadakan pertemuan dengan Dr Adham (tiga dari kiri) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita apabila baginda dimaklumkan kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan sebuah hospital awam kerajaan di Kapar.

Menerusi status dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office menyatakan, perancangan pembinaan hospital itu telah lama dibuat bagi menampung peningkatan ketara bilangan pesakit di negeri Selangor khususnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Kenyataan itu memaklumkan, Sultan Sharafuddin turut mencadangkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba agar kerajaan Persekutuan memberi tumpuan untuk menaik taraf hospital-hospital awam di kawasan luar bandar bagi membolehkan rakyat mendapatkan perkhidmatan dan rawatan kesihatan lebih baik.

"Baginda juga diberi taklimat ringkas mengenai situasi semasa di hospital-hospital awam kerajaan dalam menangani kes-kes berkaitan wabak Covid-19," kata kenyataan terbabit.

Kenyataan itu memberitahu, baginda sekali lagi meminta rakyat mendapatkan suntikan vaksin masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak ragu-ragu meskipun perlu mengambil suntikan pada bulan Ramadan.

"Tegas baginda, rakyat perlu terus kekal menjaga SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan dan membiasakan diri untuk menjalani kehidupan seharian mengikut normal baharu demi menghapuskan penularan wabak Covid-19," kata kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Dr Adham di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Turut berangkat pada pertemuan itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Artikel Berkaitan: