Program TUZ bakal lahirkan 50 usahawan

Amran (kiri) mewakili ZPP bertukar MoU dengan Zaky (kanan) yang mewakili SME Corp sambil disaksikan Roslan (dua dari kiri) dan Syed Hussein (dua dari kanan).
Amran (kiri) mewakili ZPP bertukar MoU dengan Zaky (kanan) yang mewakili SME Corp sambil disaksikan Roslan (dua dari kiri) dan Syed Hussein (dua dari kanan).
A
A
A

SEBERANG JAYA - Seramai 50 orang usahawan bakal dilahirkan di bawah program Tunas Usahawan Zakat (TUZ) anjuran SME Corperation Malaysia (SME Corp) dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee berkata, seramai 50 asnaf yang terpilih akan dibimbing melalui tiga fasa iaitu aktiviti fizikal, kursus asas perniagaan dan bimbingan usahawan melalui sistem 'buddy'.

Menurutnya, program TUZ dirangka bagi membantu menaik taraf kehidupan asnaf melalui aktiviti keusahawanan agar mampu menjana pendapatan jangka panjang selain membina daya tahan serta jati diri dalam menjalankan perniagaan.

"Melalui program itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan dan usahawan yang berjaya menamatkan latihan akan mendapat bantuan geran permulaan perniagaan berjumlah RM15,000.

"Kita mengharapkan melalui program ini, asnaf yang sebelum ini menerima bantuan akan menjadi pembayar zakat seperti yang kita berjaya lakukan melalui program yang diadakan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp dan ZPP, di sini pada Selasa.

SME Corp diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaky Moh manakala ZPP pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Amran Hazali.

Hadir menyaksikan pertukaran memorandum berkenaan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad merangkap Ahli Lembaga Pengarah ZPP.

Sementara itu, Roslan berkata, MoU ini merupakan kerjasama pintar yang mempunyai objektif yang jelas dalam membantu menaik taraf usahawan asnaf daripada menerima zakat kepada pengeluar zakat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, melalui perkongsian maklumat, latihan pembangunan modal insan, pembiayaan serta khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan kepada usahawan asnaf di bawah bimbingan Zakat Pulau Pinang bagi membolehkan mereka menjana pendapatan jangka panjang.

"Penganjuran program ini adalah tepat pada masanya kerana pada tahun 2021 merupakan tahun yang mencabar bagi masyarakat Islam di negeri Pulau Pinang khususnya golongan asnaf kerana impak pandemik Covid-19 jelas telah mengganggu kestabilan ekonomi isi rumah dan perniagaan khususnya dalam industri kecil dan sederhana.

"Saya percaya bahawa selain daripada bantuan modal, latihan dan khidmat nasihat serta bimbingan merupakan elemen yang penting dalam membangunkan perniagaan untuk berdaya saing di waktu yang mencabar ketika ini.

"Justeru, skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak yang positif dalam membantu usahawan asnaf meningkatkan hasil perniagaan dan seterusnya dapat mencapai matlamat program TUZ ini iaitu mengubah daripada penerima zakat kepada pembayar zakat," katanya.