X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Covid-19 kembali catat empat angka hari ini

A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes harian positif Covid-19 kembali kepada empat digit pada Selasa dengan bilangan 1,133 kes.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes pulih kekal melebihi kes baharu.

"Kes pulih adalah 1,148 dengan kumulatifnya 328, 554 kes," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 di negara ini sebanyak 344,018 kes.

"Terdapat lapan kes import manakala 1,125 pula adalah penularan dalam negara," katanya.

Beliau berkata, jumlah kes aktif pula adalah 14,119 kes.

"Ia merangkumi 161 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi termasuk 76 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat lima kematian berkaitan Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian adalah 1,265.

Katanya, Selangor masih kekal sebagai negeri tertinggi melaporkan kes positif Covid-19 dengan 401 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 355 kes (88.5 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Menurutnya, Pulau Pinang melaporkan 194 kes diikuti Sarawak 153.

"Johor (96), Kuala Lumpur (53), Kelantan (44), Perak (44), Sabah (41), Kedah (41), Negeri Sembilan (39) dan Pahang (16).

"Sementara Melaka (enam), Terengganu (dua), Labuan dan Putrajaya masing-masing satu kes," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 87 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara.

"Ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73), Kluster Tembok Taiping (13), dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (satu)," katanya.

Mengulas mengenai kes kematian, Dr Noor Hisham berkata, masing-masing dua kes dilaporkan di Sarawak dan Kuala Lumpur serta satu di Selangor.

"Takziah kepada seluruh ahli keluarga," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!