KPDNHEP sita kereta, minyak diesel haram

Kereta dan 130 liter minyak diesel diisi tanpa kebenaran bernilai RM2,779.50 yang disita oleh KPDNHEP.
Kereta dan 130 liter minyak diesel diisi tanpa kebenaran bernilai RM2,779.50 yang disita oleh KPDNHEP.
A
A
A

BALING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Baling menyita sebuah kereta dan 130 liter minyak diesel yang diisi secara haram bernilai RM2,779.50 pada Isnin.

Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Baling, Adzrin Mohd Radzi berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai KPDNHEP Alor Setar ke atas sebuah stesen minyak di Kupang kira-kira 7.30 pagi itu menemui sebuah kereta yang sedang mengisi minyak diesel ke dalam 10 tong jerrycan (tong minyak).

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu kereta gagal mengemukakan permit khas iaitu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh KPDNHEP bagi melakukan perbuatan itu.

"Pemandu kereta berusia 40-an itu ditahan untuk soal siasat dan siasatan lanjut mendapati minyak tersebut dibeli untuk kegunaan jentera berat di kawasan penebusan tanah berdekatan.

"Sebagai makluman, minyak yang sepatutnya digunakan oleh jentera bagi kerja-kerja penebusan tanah ialah minyak komersil yang dibeli daripada pemborong yang sah," katanya.

Mengulas lanjut, Adzrin berkata, kesemua barangan termasuk kereta dan minyak diesel disita dengan anggaran RM 2,779.50.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

"Malah tindakan turut diambil terhadap stesen minyak tersebut mengikut Peraturan 21 (1) PPKB 1974 kerana melanggar syarat lesen iaitu membenarkan pembeli membeli dan memasukkan minyak selain daripada tangki kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kesalahan itu, boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda tidak lebih RM2 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," jelasnya.