Keputusan DNA dua mayat dikerat diketahui minggu depan: Noor Rashid

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) menyampaikan Anugerah Kontinjen Terbaik kepada Ibu Pejabat Kontinjen Perak, yang diterima SAC Mohamad Laham pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik '0p Selamat 14' sempena Tahun Baru Cina di Persada Plus hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) menyampaikan Anugerah Kontinjen Terbaik kepada Ibu Pejabat Kontinjen Perak, yang diterima SAC Mohamad Laham pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik '0p Selamat 14' sempena Tahun Baru Cina di Persada Plus hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) dua mayat dikerat beberapa anggota badan yang ditemui di tepi sungai di Desa Coalfields, Sungai Buloh dekat sini bulan lepas, dijangka ketahui minggu depan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata proses itu mengambil masa kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk pengambilan sampel darah dan cap jari.

"Apabila identiti sebenar mangsa telah diketahui, ia akan melengkapkan siasatan kes ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Op Selamat ke-14 Tahun Baharu Cina di Persada PLUS, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata polis telah mengambil sampel darah kedua-dua mayat yang dipercayai mempunyai pertalian darah bagi mengenal pasti identiti mereka.

"Sampel darah telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengetahui jika ia sepadan dengan individu dipercayai waris,” katanya, menambah polis juga telah mengambil cap jari mangsa dan sedang menunggu keputusannya.

Semalam, media melaporkan Ketua Biro Penerangan Masyarakat Polis Republik Indonesia (POLRI), Brig. Jen Dedi Prasetyo mengesahkan satu daripada mayat yang ditemukan dikenal pasti sebagai Nuryanto iaitu seorang ahli perniagaan tekstil.

Pada 26 Januari lepas, mayat dua individu tanpa identiti ditemukan orang awam berhampiran sungai di kawasan kelapa sawit serta satu plastik dipercayai mengandungi kepala, tangan dan kaki yang turut ditemui di lokasi kejadian.

Pemeriksaan polis mendapati mayat yang ditemui itu merupakan seorang lelaki dan wanita dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, dua lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun ditahan di ibu negara membantu siasatan.- Bernama