Enam NGO hantar memorandum rayu 47 rakyat Malaysia dibebaskan

Beberapa badan bukan kerajaan menyerahkan memorandum kepada pihak Kedutaan Besar Diraja Kemboja di ibu negara bagi merayu pihak berkuasa Kemboja supaya membebaskan 47 warga Malaysia yang kini ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey. Foto: Bernama
Beberapa badan bukan kerajaan menyerahkan memorandum kepada pihak Kedutaan Besar Diraja Kemboja di ibu negara bagi merayu pihak berkuasa Kemboja supaya membebaskan 47 warga Malaysia yang kini ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum bagi merayu pihak berkuasa Kemboja membebaskan 47 rakyat Malaysia yang kini ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey.

NGO berkenaan ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Amanah Rasah Cekal (ARC) dan Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desma).

Memorandum itu diserahkan Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay yang diiringi Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah dan wakil-wakil NGO berkenaan kepada Kaunselor Kedutaan Kemboja, Suos Sophal di kedutaan itu di sini pada pukul 11.30 pagi tadi.

Amir Amsaa berkata memorandum dua muka surat itu juga mengandungi permohonan supaya pihak berkuasa Kemboja mempertimbangkan rayuan di atas dasar perikemanusiaan memandangkan sebahagian kumpulan rakyat Malaysia itu bukan berniat melakukan jenayah tetapi dipercayai dianiaya oleh sindiket penipuan.

“Kami sudah bercakap dengan Suos Sophal ketika menyerahkan memorandum dan beliau menyatakan persetujuan untuk menelitinya serta mencari penyelesaian berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan penyerahan memorandum itu.

Wisma Putra pada Khamis lepas mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Dis tahun lalu, atas pertuduhan menipu, membuka serta menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram, dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah pula dilaporkan berkata sebahagian besar daripada tahanan itu dipercayai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan kerana mereka menjadi mangsa penipuan.- Bernama

Artikel Berkaitan: