Percaturan Korea Utara-AS

A
A
A

KOREA Utara telah mengambil langkah drastik memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Tindakan itu menyebabkan kerajaan Malaysia menghalau keluar diplomat Korea Utara dan turut memutuskan hubungan diplomatik selaras peruntukan Artikel 9 Konvensyen Vienna bagi Hubungan Diplomatik 1961.

Hubungan bilateral Korea Utara dengan Malaysia sudah terjalin sejak Jun 1973. Bagi Malaysia, walaupun Korea Utara sebuah negara yang mengamalkan ideologi komunisme tetapi Kuala Lumpur tetap memulakan hubungan diplomatik dengan Pyongyang kerana ia sebahagian strategi Dasar Berkecuali di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak dengan mengadakan hubungan bilateral tanpa mengira ideologi politik.

Korea Utara ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Kim Il-sung sedang berusaha memperkukuhkan hubungan diplomatik dengan negara-negara membangun. Sejak permulaan hubungan diplomatik Malaysia-Kuala Lumpur 48 tahun lalu boleh dikatakan mesra sehingga kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri Presiden Kim Jong-un pada 2017. Korea Utara telah mendirikan kedutaan di Kuala Lumpur pada 1974 dan kedutaan Malaysia di Pyongyang telah dibuka pada 2004.

Hubungan dua negara telah diperkukuhkan lagi pada 2009. Malaysia menjadi negara pertama di mana warganya dapat melakukan perjalanan ke Korea Utara tanpa visa. Korea Utara dan Malaysia turut menjalinkan hubungan multilateral melalui Forum Serantau ASEAN atau ASEAN Regional Forum (ARF).

Di luar ARF, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan berkomunikasi dengan Korea Utara mengenai isu keselamatan serta bantuan kemanusiaan melalui Malaysia. Dasar Selatan Baru Korea Selatan atau New Southern Policy (NSP) bertujuan untuk menjalin kerjasama geo-ekonomi lebih erat dengan negara anggota ASEAN, selain bertindak sebagai penghubung kepada Korea Utara, dengan harapan ASEAN khasnya Malaysia akan berfungsi sebagai ‘jambatan strategik tidak rasmi’ yang menghubungkan dengan Korea Utara.

Mengapa Korea Utara mengambil langkah paling drastik – memutuskan hubungan dengan Malaysia sedangkan Malaysia berfungsi sebagai ‘rakan strategik’?

Pertama, mulai 2017, hubungan bilateral Kuala Lumpur-Pyongyang mula mengalami keretakan akibat peristiwa pembunuhan Kim Jong-nam. Namun, masalah itu tidak sehingga menyebabkan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Punca utama adalah percaturan politik antara Korea Utara dan AS. Presiden AS, Joe Biden menghantar Setiausaha Negara, Antony Blinken bersama Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin mengunjungi Jepun pada 15 Mac dan Korea Selatan pada 18 Mac untuk memperoleh sokongan bagi mengimbangi kuasa tentera Korea Utara dan China.

Lawatan dibuat 24 jam sebelum Korea Utara mengisytiharkan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Adakah ia secara kebetulan atau sememangnya sebahagian reaksi Korea Utara kepada AS?

Artikel Berkaitan:

Korea Utara mendakwa Malaysia bekerjasama dengan AS dalam mengekstradisi ahli peniagaan Korea Utara, Mun Chol Myong ke AS atas dakwaan terlibat pengubahan wang haram. Korea Utara mengugut membalas dendam terhadap Malaysia. Hakikatnya, tindakan Korea Utara adalah isyarat diplomatik yang ditujukan kepada Washington DC dan amaran dari Korea Utara bahawa ia bersedia bertindak balas terhadap tindakan AS serta rakan-rakan AS.

Malaysia sebuah negara berdaulat yang mendokong prinsip keluhuran undang-undang dan tidak akan terpengaruh akibat tekanan luar. Jika Korea Utara mahukan sokongan negara-negara lain, ia terlebih dahulu mesti hentikan bersikap seperti ‘samseng antarabangsa’ mengugut negara lain terutama negara yang pernah menyokongnya.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya