Antara rintangan dan sokongan

No Image Caption
A
A
A

ADALAH sahih, pengembaraan kita di dunia ini perlu menjangkaui pelbagai rintangan. Sama ada rintangan itu kecil atau besar serta dalam jangka masa pendek atau panjang, kita tetap mesti melepasinya. Bagi mereka yang berjaya melepasi rintangan tersebut, akan ada pula rintangan baharu yang perlu ditempuhi, manakala bagi mereka yang masih terkial-kial untuk melepasi rintangan, momentum yang kuat amat diperlukan.

Sesungguhnya momentum itu datang dalam pelbagai bentuk. Namun, pemangkin yang paling besar adalah sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat serta doa dan harapan yang berterusan kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Sebetulnya bukan mudah untuk melepasi apa juga rintangan dalam kehidupan. Pelbagai emosi sedih, kecewa, kecil hati dan sayu berlegar-legar dalam pemikiran dan menerjah pangkal hati. Ketika itu, diri kita seumpama cuba memegang belon buih sabun yang begitu cantik dibawa angin, namun belum sempat mendekatinya, belon itu sudah pecah, apatah lagi untuk memegangnya. Hakikatnya, lantunan emosi bagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang, putus cinta dan tunang, runtuhnya rumah tangga, kehilangan harta benda adalah berbeza bagi setiap situasi.

Namun, bagi kes teraniaya, gelora emosinya cukup kompleks kerana melibatkan maruah dan harga diri. Pendek kata, ramai yang tersungkur kerana perlu melalui badai yang cukup besar dan disusuli tiupan angin kencang serta kilat sabung-menyabung.

Pun begitu, besar mana rintangan, kita tidak boleh berputus harap. Menurut Dr Yusof Al-Qaradhawi menerusi bukunya, Kemanisan Iman – “Harapan merupakan satu kekuatan, penggerak yang membuka semangat untuk bekerja, melahirkan dorongan untuk berusaha menunaikan kewajipan dan memberi kecergasan roh dan jasad. Harapan juga pohon kehidupan, pendorong kecergasan, suatu yang meringankan kecelakaan, pembangkit kegembiraan dan kesukaan dalam hidup. Namun, lawan kepada harapan ialah putus asa.

Padamnya api hara-pan di dalam dada dan putusnya benang keinginan merupakan satu halangan yang sukar dan rintangan yang nyata, boleh meruntuhkan keinginan berusaha dalam diri dan melemahkan semangat kuat dalam tubuh badan.”Kita perlu yakin bahawa setiap kesukaran yang berjaya ditempuhi akan disertai kemudahan yang lebih luas selepas itu. Berkaitan hal itu, ALLAH telah berfirman: “ Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-bersungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain) dan kepada Tuhan mu sahaja hendaklah engkau memohon.” (Surah Al-Inshirah, 94:5-8).

Senjata paling ampuh bagi mengharungi rintangan ini adalah kekuatan hati. Kita perlu sentiasa istiqamah mendekati ALLAH sewaktu susah dan senang. Mengingati ALLAH sewaktu senang adalah proses mengukuhkan hati, manakala mengingati ALLAH sewaktu susah adalah medan pertarungan hati bagi menguji keimanan dan keupayaan sebenar menghadapi realiti. Sewaktu inilah, hati kita perlu kuat dan tidak boleh lalai.

Berkaitan hati yang lalai, Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hati adalah sebuah bejana dan sebahagiannya diletakkan pada sebahagian yang lain. Wahai manusia, jika kalian memohon kepada ALLAH ‘azza wajalla, maka mohonlah kepada-Nya dengan keyakinan bahawa permohonan itu bakal diperkenankan kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan mengabulkan doa seorang hamba yang dipanjatkan dari hati yang lalai.” (Hadis Riwayat, Ahmad).

Pada masa yang sama, kukuhkan sokongan daripada ahli keluarga dan para sahabat kerana sangat membantu sewaktu kelemasan. Tanpa mereka, kita boleh hanyut ke lautan tidak bertepi.

Artikel Berkaitan:

Kukuhkan sokongan daripada ahli keluarga dan para sahabat kerana sangat membantu sewaktu kelemasan.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis