X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Penempatan haram Bukit Malut dikhuatiri semakin membesar

Bukit Malut, Langkawi - Foto arkib Bernama
A
A

ALOR SETAR - Penempatan haram masyarakat Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut, Langkawi dibimbangi makin membesar dan sukar dikawal sekiranya dibiarkan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bilangan rumah yang dibina masyarakat berkenaan semakin bertambah dan mula melibatkan kawasan laut berbanding hanya di darat sebelum ini.

"Penempatan itu makin melarat sehingga masuk ke kawasan air. Sebelum ini hanya duduk di darat sahaja tetapi kini penempatan mereka dibina di masuk ke kawasan air pula.

"Mereka beranak pinak dan berkembang tetapi tidak tahu hendak ke mana jika diarahkan pindah. Sehingga kini difahamkan sudah ada 1,200 rumah di situ," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan negeri bimbang dengan masalah itu sekiranya tindakan lambat diambil.

"Apabila lagi ramai, lagi sukar untuk pindahkan mereka. Kita harapkan penduduk di situ ambil inisiatif cari kediaman sah," katanya.

Menurutnya, penduduk di situ juga diminta tidak membina rumah sesuka hati disebabkan tanah di kawasan berkenaan mempunyai pemiliknya.

"Ada tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan lain-lain. Semua itu tanah bermilik dan tidak sesuai untuk dipacak buat rumah sesuka hati," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyediakan penempatan semula masyarakat MIK di kawasan itu dengan segera.

"MKN kena tentukan kaedahnya. Kalau dari segi penempatan semula, saya fikir dua lot tanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di kawasan berhampiran boleh digunakan untuk penempatan semula masyarakat berkenaan," katanya.

Muhammad Sanusi turut mengulangi pendirian bahawa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibangunkan di pulau peranginan itu tidak akan diberikan kepada masyarakat MIK, tetapi khusus untuk penduduk Langkawi sahaja.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!