KADA tanam padi nuklear NMR152 Jun ini

Kamarudin (kiri) menyampaikan sumbangan pada Majlis Pembahagian Hasil Ladang Merdeka Meranti, Senor dan Bakong Bagi Musim 1/2020 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut, Pasir Mas.
Kamarudin (kiri) menyampaikan sumbangan pada Majlis Pembahagian Hasil Ladang Merdeka Meranti, Senor dan Bakong Bagi Musim 1/2020 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan memulakan projek perintis dengan menanam padi nuklear NMR152 yang dikeluarkan oleh Agensi Nuklear Malaysia pada musim baharu yang akan bermula pada Jun ini.

Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, proses ujian itu akan dilakukan di atas tanah berkeluasan antara empat hingga 10 hektar di bawah seliaan agensi berkenaan.

"Kita akan uji terlebih dahulu benih ini sama ada ia sesuai atau tidak.

"Selain itu, KADA juga mahu melihat dari segi ketahanan dan hasil yang bakal dikeluarkan oleh benih ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Pembahagian Hasil Ladang Merdeka Meranti, Senor dan Bakong Bagi Musim 1/2020 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Menurutnya, jika benih itu menunjukkan hasil yang baik dan berkualiti, KADA akan memberikan galakan kepada petani untuk mengusahakan tanaman padi dari jenis itu.

Beliau berkata, selain nuklear dua lagi benih baharu akan turut diuji oleh KADA iaitu MR315 dan Putra 2.

"MR315 merupakan benih yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Artikel Berkaitan:

"Putra 2 pula adalah benih keluaran dari pihak Universiti Pertanian Malaysia (UPM)," katanya.

Katanya, benih baharu ini mampu merancakkan lagi perkembangan industri padi negara pada masa hadapan.

"Dalam pada masa sama, ia mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import dari luar negara," katanya.

Agensi Nuklear Malaysia sebelum ini optimis pengeluaran hasil padi negara mampu ditingkatkan menerusi benih NMR152.