Vaksin: Tok Batin perlu jadi kumpulan pertama Orang Asli Perak

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Ketua Kampung Orang Asli (Tok Batin) di Perak, perlu menjadi orang pertama mengambil vaksin di setiap perkampungan masyarakat itu, dalam usaha meyakinkan masyarakat Orang Asli terhadap pengambilan vaksin bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan mereka.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Tok Batin memainkan peranan yang penting dalam inisiatif tersebut dan langkah itu perlu bermula melalui contoh yang baik dari ketua mana-mana kawasan orang Asli di negeri ini.

“Ini merupakan tanggungjawab besar dan mudah-mudahan Tok Batin dapat memainkan peranan serta menjadi orang pertama disuntik vaksin. Orang Asli akan menerima sekali sahaja suntikan dos vaksin jenis yang paling terbaik sekali, dan saya harap ia dapat dijayakan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Ramah Mesra Tok-Tok Batin Orang Asli Sungai Siput.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Profesor Dr Juli Edo dan seramai 180 Tok Batin dari seluruh Perak yang dijadual akan menerima taklimat berkaitan pengambilan vaksin pada Rabu.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak ke semua perkampungan Orang Asli, bagi memastikan tiada yang tertinggal seperti yang telah dipersetujui Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, pada minggu lalu.

Pada majlis itu, Saarani turut menyampaikan Bantuan Khas Kewangan Tok Batin Orang Asli sebanyak RM178,180 dan menyampaikan Anugerah Khas Batin Dinamik Negeri Perak, serta Anugerah Pelajar Berkarismatik.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dalam memajukan masyarakat Orang Asli, untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam kalangan mereka.

“Dalam mesyuarat majlis tindakan negeri, saya dimaklumkan ada projek tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong,jadi kerajaan negeri memberi perhatian yang khusus untuk mengumpul sebilangan besar anak-anak Orang Asli, yang tidak mendapat pendidikan sewajarnya kerana berada jauh di pedalaman.

Artikel Berkaitan:

“Kita mahu bawa keluar ke sebuah asrama dengan kemudahan-kemudahan termasuk Internet, dan segala keperluan serta guru-guru bertauliah untuk pembelajaran anak-anak Orang Asli,” tambahnya. - Bernama