Aktiviti jualan di lampu isyarat didakwa masih berlaku

Kebiasaannya peniaga akan menjual makanan di kawasan persimpangan lampu isyarat pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru.
Kebiasaannya peniaga akan menjual makanan di kawasan persimpangan lampu isyarat pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Aktiviti menjual produk khususnya makanan di persimpangan lampu isyarat pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini didakwa masih ada walaupun amaran telah diberikan oleh pihak berkuasa.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan itu pada Selasa mendapati, tiada penjual yang menjaja makanan di kawasan itu namun difahamkan, ia masih berjalan seperti biasa.

Seorang pekerja di kawasan itu, Ishak Abdullah, 48, mendakwa, aktiviti menjual di lampu isyarat di kawasan itu telah bermula sejak beberapa bulan lalu.

"Kebiasaannya antara dua ke lima orang yang menjaja di kawasan ini pada pagi, tengah hari atau petang. Kebiasaannya mereka menjual buah-buahan atau jeruk yang dijual RM10 sebekas.

"Kita faham dalam keadaan ekonomi sekarang, mungkin mereka terpaksa menjual dengan cara itu.

"Namun, jika pihak berkuasa larang, saya rasa mereka patut akur. Lagi pun ia melibatkan keselamatan mereka dan pengguna jalan yang lain," katanya.

Mohd Zain Ibrahim, 60, turut mengakui perkara itu dan mendakwa aktiviti jualan rancak berlaku pada sebelah petang.

"Kebiasaannya sebelah petang memang ada yang menjual di kawasan lampu isyarat di sekitar kawasan ini.

"Saya perasan aktiviti ini berjalan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin atas faktor ekonomi menyebabkan mereka berniaga dengan cara itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menggesa penjaja dan orang ramai menghentikan aktiviti perniagaan di persimpangan lampu isyarat yang menyalahi Akta Lalu Lintas Jalan Raya kerana mendatangkan bahaya kepada pelbagai pihak.

Abdul Hamid menegaskan, mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan, malah pembeli juga boleh didenda tidak melebihi RM2,000.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam Ops Kesedaran yang dibuat sebelum ini, polis Johor telah mengenal pasti 52 lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti perniagaan di lampu isyarat di seluruh Johor.

Antara lokasi yang dikenal pasti termasuklah di lampu isyarat pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, lampu isyarat Kempas Baru-Pasir Gudang, lampu isyarat Taman Cempaka dan lampu isyarat Jalan Kulai-Kota Tinggi.