Beri alasan lampu isyarat belum merah

Rakaman video tular menunjukkan Perodua Viva memecut melanggar lampu isyarat merah sebelum bergesel dengan sebuah motosikal.
Rakaman video tular menunjukkan Perodua Viva memecut melanggar lampu isyarat merah sebelum bergesel dengan sebuah motosikal.
A
A
A

IPOH - Penunggang motosikal yang dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva sepertimana video tular pada Isnin mengalami patah tangan.

Lelaki tempatan berusia 48 tahun terbabit turut cedera di dagu dan jari kiri dalam kemalangan sekitar jam 8.16 pagi itu.

Bagaimanapun pemandu kereta iaitu wanita berusia 73 tahun hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima pada jam 1.52 petang dan didapati rakaman kemalangan telah tular di laman sosial hingga mendapat perhatian umum.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran Sekolah Tuanku Abdul Rahman.

"Ketika kejadian kereta itu datang dari arah Kampung Simee dan semasa melalui lampu isyarat telah bergesel dengan motosikal dari arah bertentangan yang mahu membelok ke kanan.

"Akibat kemalangan, penunggang motosikal mengalami kecederaan patah tangan dan luka di beberapa anggota badan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Penunggang motosikal mengalami patah tangan serta cedera di dagu dan jari kiri dalam kemalangan sekitar jam 8.16 pagi itu.
Penunggang motosikal mengalami patah tangan serta cedera di dagu dan jari kiri dalam kemalangan sekitar jam 8.16 pagi itu.

Beliau berkata, pemandu kereta itu mendakwa ketika kejadian, lampu isyarat masih kuning menyebabkannya tidak berhenti.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mereka yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan keadaan sekeliling dan mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan untuk mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Dalam video berdurasi 29 saat menerusi rakaman papan pemuka itu, sebuah kereta Perodua Viva dilihat memecut laju melanggar lampu isyarat merah.

Sebuah motosikal yang berada di laluannya mahu membelok ke simpang kanan, namun tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran.