RM500,000 jika hilang upaya, mati akibat vaksin Covid-19

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju untuk memberi RM500,000 sebagai bantuan khas kewangan kesan mudarat Covid-19 kepada rakyat tempatan dan warga asing di negara ini sekiranya berlaku hilang upaya kekal ataupun kematian disebabkan suntikan pelalian itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan RM50,000 jika berlaku kesan sampingan serius kepada penerima vaksin Covid-19 yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.

"Sebagai permulaan kerajaan menyediakan dana RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya pada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini pada Isnin.

Menurutnya, bantuan kewangan tersebut merupakan langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlakunya kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin Covid-19.