DSKB bantu Sabah hadapi bencana

Rina pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Kasih Prihatin Yayasan Kebajikan Negara di Kota Kinabalu.
Rina pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Kasih Prihatin Yayasan Kebajikan Negara di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) yang bernilai RM8.9 juta telah siap dibina untuk kegunaan rakyat Sabah jika berlakunya bencana di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, depoh yang pertama dibina di Sabah itu berfungsi sebagai tempat penyimpanan, persediaan dan pengagihan bekalan mangsa bencana di negeri ini.

"Saya telah merasmikan DSKB untuk mangsa bencana dan ini antara lapan depoh utama yang ada di seluruh negara di mana di Sabah adalah yang pertama.

"Keperluan depoh ini sebagai pusat transit apabila berlakunya bencana dan untuk kita agihkan barang keperluan kepada depoh-depoh yang lebih kecil di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kasih Prihatin Yayasan Kebajikan Negara di Kota Kinabalu pada Ahad.

Menurutnya, tujuan depoh ini diwujudkan untuk kementerian sendiri iaitu bantuan seperti bekalan yang diperlukan sebagai persiapan.

"Jadi jika berlakunya bencana banjir atau kebakaran, keperluan seperti lampin pakai buang, makanan kering sudah ada untuk kita terus agihkan secepat mungkin.

"Sekiranya ada pihak luar mahu menyalurkan bantuan, boleh letakkan di situ tetapi kita minta pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk selaraskan," katanya.

Katanya, depoh yang telah siap dibina pada Disember lalu itu mampu memuatkan sehingga dua minggu bekalan dan menampung keperluan bagi 10,000 mangsa bencana di sekitar negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapan program yang dihadirinya, Rina berkata, sebanyak RM2.4 bilion peruntukan diluluskan untuk kementeriannya.

"Pada 2021 atas keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN), peruntukan kepada kementerian dinaikkan kepada RM2.5 bilion dan daripada jumlah itu, peruntukan kepada JKM adalah sebanyak 2.3 bilion.

"Daripada keseluruhan jumlah peruntukan ini, Sabah diberikan peruntukan sebanyak RM345.9 juta dan ini merupakan agihan peruntukan yang terbesar berbanding negeri lain seterusnya menjadi manifestasi bahawa kerajaan PN amat prihatin kepada kebajikan rakyat di negeri ini," katanya.