Perancang perkahwinan diarah bayar semula wang pelanggan

Gambar kecil: Georgie
Gambar kecil: Georgie
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang perancang perkahwinan diarahkan membayar semula wang sebanyak RM6,590 kepada pelanggan selepas didapati terma syarat 'deposit tidak dapat dikembalikan' tidak adil kepada pelanggan.

Individu itu diminta membayar semula wang terbabit pada Khamis dalam tempoh 14 hari oleh Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna di Kota Kinabalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, pengguna berkenaan membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM7,090 daripada RM9,090 jumlah keseluruhan pakej untuk majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada April 2020.

"Bagaimanapun, perkahwinan itu terpaksa ditunda pada Jun akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.

"Beliau membuat keputusan untuk membatalkan majlis perkahwinan dan meminta wang pendahuluan dikembalikan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Georgie bagaimanapun berkata, pemilik perniagaan itu tidak bersetuju dengan pembatalan itu.

"Pemilik perniagaan juga merujuk kepada terma dalam invois 'deposit tidak akan dikembalikan untuk sebarang pembatalan yang dibuat sebelum hari perkahwinan kecuali perkara-perkara yang tidak dijangka berlaku contohnya hilang'.

"Pemilik perniagaan itu juga menyatakan kos kerugian yang ditanggung oleh pihak mereka untuk pembayaran pendahuluan dan Presiden telah menyemak invois yang diberikan pemilik perniagaan kepada pengguna sewaktu tempahan dan mendapati kos yang dinyatakan dalam invois terbabit tidak sama seperti kos kerugian yang dinyatakan oleh pemilik perniagaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Georgie lagi, pemilik perniagaan juga gagal mengemukakan resit bayaran kos.

"Setelah mengambil kira keterangan pemilik perniagaan, Presiden membuat keputusan kos kerugian sebanyak RM500 wajar dipertimbangkan dan baki RM6,590 dibayar balik kepada pengguna," katanya.

Terdahulu, Georgie memaklumkan, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mendengar tuntutan yang difailkan bagi kes-kes tebus rugi pembelian barang dan perkhidmatan untuk hal perkara yang dibenarkan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 dengan jumlah amaun tuntutan tidak melebihi RM50,000.

"TTPM ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran alternatif selain mahkamah sivil untuk pengguna menuntut tebus rugi berkaitan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibekalkan daripada peniaga atau pembekal perkhidmatan dengan cara yang mudah, murah dan cepat.

"Pada tahun 2020, sebanyak 146 tuntutan telah difailkan di TTPM Sabah dan lima klasifikasi tuntutan teratas adalah tuntutan berkenaan telefon bimbit (28 kes), tuntutan berkaitan pakej Umrah/Haji (19 kes), tuntutan terhadap agensi pelancongan (14 kes), tuntutan berkenaan ubah suai rumah (10 kes) dan tuntutan terhadap bengkel kereta (9 kes).

"Pada tahun yang sama juga, klasifikasi tuntutan terbanyak yang telah jatuh Award (perintah mahkamah) adalah berkaitan pakej Umrah/Haji iaitu sebanyak 15 kes dengan jumlah Award RM99,995.00 dan 14 daripada kes itu Award telah pun selesai dibayar manakala pada 2021 pula, sehingga 28 Februari sebanyak 25 tuntutan telah difailkan, " katanya.