X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Agong kurnia surat cara pelantikan empat Hakim Mahkamah Rayuan

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada empat Hakim Mahkamah Rayuan pada majlis yang berlangsung di Istana Negara pada Jumaat. - Foto Facebook Istana Negara
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada empat Hakim Mahkamah Rayuan pada majlis yang berlangsung di Istana Negara di sini.

Empat hakim berkenaan ialah hakim-hakim Mahkamah Tinggi iaitu Datuk Ghazali Cha, Datuk Seri Mariana Yahya, Datuk See Mee Chun dan Datuk Hashim Hamzah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan itu turut dihadiri Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ghazali sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar (Sivil & Jenayah 1) dan pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman mulai 1 September 2005 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 5 September 2007.

Mariana pula merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (BKK 2) dan pernah menyandang jawatan Pesuruhjaya Kehakiman selepas pelantikan pada 1 Mac 2007, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 14 April 2010.

Sementara itu, See yang sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bharu (Sivil 1) berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman mulai 11 Mei 2010, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 19 Februari 2014.

Hashim pula adalah Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh (Jenayah) dan pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman mulai 1 November 2012, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 12 September 2014. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!